17 warga asing ditahan dalam Operasi Kesan

17 warga asing ditahan dalam Operasi Kesan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Seramai 17 orang lelaki warga asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) cawangan Daerah Belait dalam Operasi Kesan JIPK ke atas projek pembinaan di kawasan Lumut, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIPK, semasa pemeriksaan ke atas projek pembinaan 24 unit rumah berkembar baru itu, seramai 39 orang pekerja warga asing telah diperiksa, dan seorang telah didapati bersembunyi di bahagian ruang bawah tangga tingkat bawah salah satu unit rumah terbabit dengan mengunci pintu dari dalam cuba mengelak dirinya daripada diperiksa.

Penelitian dokumen mendapati lelaki warga asing berkenaan merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial 30 hari.

Sementara itu, pada hari yang sama, satu pemeriksaan mengejut juga telah dilakukan ke atas tiga warga asing yang menjalankan perkhidmatan pembersihan karpet dari rumah ke rumah di kawasan STKRJ Mumong, Belait.

Hasil daripada pemeriksaan dokumen mendapati seorang daripadanya memegang jawatan sebagai penghantar dan seorang lagi jaminan Pas Melawat (Sosial) tiga bulan, manakala itu, seorang lagi dipercayai bertanggungjawab keatas kegiatan mereka.

Warga asing yang diperiksa ketika operasi itu dijalankan.
Warga asing yang diperiksa ketika operasi itu dijalankan.
Warga asing yang didapati bersembunyi di salah sebuah rumah pembinaan tersebut.
Warga asing yang didapati bersembunyi di salah sebuah rumah pembinaan tersebut.

Ketiga-tiga mereka diarahkan untuk melaporkan diri ke bahagian berkenaan bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, para majikan dan warganegara asing sekali lagi diingatkan agar sentiasa patuh dan tidak melanggar sebarang undang-undang yang diperuntukkan oleh JIPK.

Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, JIPK akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan berterusan sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut pihak jabatan mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi JIPK di talian hotline 8753888 / 8734888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA