170 dijadikan tebusan di Mali

170 dijadikan tebusan di Mali

BAMAKO, 20 Nov (AFP) – Dua individu bersenjata dipercayai anggota kumpulan militan menawan 140 tetamu dan 30 pekerja di Hotel Radisson, Bamako, kata rangkaian hotel itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Kumpulan Hotel Rezidor mengesahkan insiden tebusan itu berlaku di dalam hotel kami. “Maklumat awal yang kami terima, dua individu mengepung 140 tetamu dan 30 pekerja hotel,” menurut kenyataan itu.

Sebelum insiden tebusan itu, kejadian tembak-menembak berlaku di dalam Hotel Radisson Blu oleh kumpulan militan yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang.

Tembakan bertali arus itu turut didengar di luar hotel 190 bilik berkenaan. “Insiden tembak-menembak itu berlaku di tingkat tujuh hotel,” kata sumber dari pasukan keselamatan.

Identiti mereka belum lagi diketahui.

Tentera Mali mengambil kedudukan dalam operasi di luar hotel Radisson di Bamako semalam. – AFP
Tentera Mali mengambil kedudukan dalam operasi di luar hotel Radisson di Bamako semalam. – AFP

“Ini semua berlaku di tingkat tujuh, ketika berlaku insiden tembak-menembak oleh kumpulan jihad di koridor hotel berkenaan,” kata sumber keselamatan kepada AFP sebelum ini.

Sumber keselamatan berkata lelaki bersenjata itu merupakan pejuang IS telah memasuki perkarangan hotel sekitar 0700 GMT dengan menggunakan sebuah kereta yang mempunyai plat kereta diplomatik. Kebanyakan tetamu tidak berada di dalam bilik mereka apabila serangan bermula, jurucakap kementerian keselamatan memberitahu AFP.

Agensi berita kerajaan China Xinhua berkata sekurang-kurangnya tujuh warga China adalah antara menjadi tebusan, manakala Syarikat penerbangan Turki pula berkata enam daripada kakitangannya telah terperangkap dalam serangan itu.

Dua tebusan wanita dibebaskan – seorang kakitangan dari Syarikat penerbangan Turki dan seorang lagi Ivory Coast yang berada di negara itu bagi menghadiri persidangan ekonomi. Kedua-dua wanita tebusan itu memberitahu AFP mereka melihat mayat seorang lelaki berkulit putih berbaring di atas lantai hotel berkenaan.

Paramedik berkata tiga pengawal keselamatan telah tercedera, termasuk seorang dalam keadaan kritikal selepas ditembak. Wartawan AFP menyaksikan seorang pegawai polis, yang juga telah ditembak, dipindahkan oleh pasukan keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA