170 pengakap hadiri perkhemahan suai kenal

170 pengakap hadiri perkhemahan suai kenal

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Kira-kira 170 orang ahli baru Pengakap Muda, Remaja dan Kelana dari lapan buah sekolah menengah kerajaan dan Pusat Bahagia telah menghadiri perkhemahan suai kenal gabungan sebagai pengenalan kepada pergerakan pengakap di negara ini.

Perkhemahan yang berlangsung selama dua hari di Tapak Latihan dan Perkhemahan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Jalan Gadong, di sini, telah berakhir hari ini dengan penyampaian sijil yang disempurnakan oleh Ketua Unit Pasukan Beruniform dan Kemasyarakatan, Jabatan Kokurikulum, Awang Jalil bin Pengarah Haji Kapitan.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara Zon I, selaku Pengerusi Perkhemahan, Skipper Shahruni bin Haji Sarbini, Kem Komandan, Skipper Haji Mohammad Paiizal bin Haji Piluk serta pemimpin-pemimpin  dan pengawas pasukan.

Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang perkhemahan ialah membina khemah secara berkumpulan dengan menggunakan standard perkhemahan, mempelajari mengenai kekuatan pasak dan simpulan serta cara mematikan ikatan.

Perkhemahan ini bertujuan bagi mengenalkan lagi dunia pengakap, iaitu dari segi pembuatan peralatan daripada kayu-kayu dan penggunaan simpulan dan ikatan, memasak, fotografi dan berbasikal.

Salah seorang peserta menerima sijil penyertaan perkhemahan.
Salah seorang peserta menerima sijil penyertaan perkhemahan.

Antara objektifnya pula adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pasukan-pasukan pengakap di Daerah Brunei dan Muara, di samping mengisi waktu percutian sekolah serta mengaplikasikan kemahiran berpengakap dan pengenalan mengenai berpengakap dalam kalangan ahli Pengakap Muda, Remaja dan Kelana. – Hamdanajib Haji Domeng