1,700 mangsa masih hilang

1,700 mangsa masih hilang

PEDERNALES/MANTA, Ecuador, 20 April (AFP) – Jumlah kematian gempa bumi di Ecuador dijangka naik mendadak selepas pihak berkuasa negara itu memberi amaran bahawa kira-kira 1,700 orang masih hilang. Perkembangan itu dilaporkan ketika kemarahan menyelubungi ahli keluarga mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.

Menurut kerajaan semalam, sekurang-kurangnya 480 disahkan maut selepas tiga hari gempa bumi sekuat 7.8 magnitud itu melanda zon popular dengan pelancong di pesisir Pasifik negara itu. Anjing pengesan bau dan pengorek mekanikal dilihat sibuk di kawasan terjejas seperti di Pedernales dan Manta ketika bau mayat reput semakin kuat di bawah sinaran matahari terik.

Penyelamat antarabangsa dan kumpulan bantuan bergegas membantu mangsa ketika pasukan pencari menggali ahli keluarga mereka yang terperangkap dalam runtuhan kediaman, hotel dan perniagaan.

“Kami mempunyai senarai 2,000 yang sedang dicari, tapi setakat ini hanya 300 ditemui,” kata Menteri Dalam Negeri, Diego Fuentes di Quito, ibu negara Ecuador. Menurut data terkini kerajaan, kira-kira 4,605 orang dilaporkan cedera.

Terdapat adanya berita baik ketika beliau melawat kawasan yang terjejas, Presiden Rafael Correa berkata 54 orang mangsa yang masih hidup telah diselamatkan dari runtuhan.

Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terselamat di celah-celah runtuhan bangunan di Portoviejo, Ecuador, pada Selasa lalu. - AFP
Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terselamat di celah-celah runtuhan bangunan di Portoviejo, Ecuador, pada Selasa lalu. – AFP

Namun, harapan untuk mencari lebih banyak mangsa hidup adalah pudar selepas tiga hari terpenting itu telah dicapai lewat kelmarin. Penduduk tempatan yang berada di bandar-bandar yang musnah seperti Manta – penduduk 253,000 – mula hilang sabar.

Luis Felipe Navarro berkata beliau pasti ada orang yang masih hidup di dalam konkrit dan logam yang berpintal dari sebuah bangunan miliknya – salah satu daripada kira-kira 800 struktur yang runtuh dalam gempa bumi itu. “Saya menerima mesej pada telefon saya. Mereka mengatakan ada 10 daripada mereka dalam lubang runtuhan itu,” katanya. “Tetapi pasukan penyelamat tidak akan mendengar kepada saya.”

Beratus-ratus pekerja kecemasan dari Colombia, Mexico, El Salvador, Sepanyol dan negara-negara lain telah membantu pegawai-pegawai Ecuador. Kebimbangan meningkat apabila beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi itu, terdedah kepada nyamuk pembawa penyakit dan meminum air minuman yang kotor.