17,000 perkahwinan dengan wanita China tidak didaftarkan

17,000 perkahwinan dengan wanita China tidak didaftarkan

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) – Lebih 17,000 perkahwinan antara lelaki tempatan dengan wanita warga China tidak didaftarkan sepanjang 2011 hingga 2015, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa jumlah itu adalah satu setengah kali ganda lebih tinggi daripada jumlah perkahwinan lelaki tempatan dengan wanita warga China yang didaftarkan sepanjang tempoh sama, iaitu 11,623 pendaftaran.

“Hasil perkawinan yang didaftarkan itu, seramai 9,197 anak dilahirkan sepanjang tempoh itu,” katanya Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata masalah utama yang timbul akibat perkahwinan tidak berdaftar ialah anak-anak mereka tidak dapat didaftarkan sebagai warganegara Malaysia.

“Ini menimbulkan pemasalahan. Apabila anak-anak ini dilahirkan, ibunya telah meninggalkan negara ini dan balik ke negara asal, dan bapa atau saudara memohon supaya (anak) ada status kelahiran kerana mereka mahu memasuki persekolahan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA