171 pain diterima dalam kempen derma darah

171 pain diterima dalam kempen derma darah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN,27 Nov – Dengan hasrat untuk memberikan peluang kepada orang ramai supaya dapat menaburkan bakti serta membantu untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan (BSB) dan Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sekali lagi mengadakan Kempen Menderma Darah yang berlangsung di Dewan Pameran Lexus, Gadong, kelmarin.

Kempen itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai di mana lebih 100 orang penderma darah hadir untuk sama-sama menjayakan kempen itu di mana mereka bukan sahaja terdiri daripada penderma yang berpengalaman tetapi juga penderma-penderma baru.

Presiden Kelab Rotary BSB, Henry Ting menyatakan penghargaannya kepada semua para penderma yang hadir untuk menyumbangkan darah dan menyertai kempen itu.

Beliau juga berkata bahawa para penderma darah bukan sahaja telah menghulurkan khidmat bakti kepada masyarakat tetapi telah berjaya untuk memberikan sumbangan yang penuh bermakna bagi golongan yang memerlukan.

Para penderma darah bergambar ramai semasa kempen berkenaan.
Para penderma darah bergambar ramai semasa kempen berkenaan.

Beliau turut berkata bahawa kempen pada kali ini telah mencatatkan rekod bagi jumlah pain darah yang terbanyak iaitu 171 pain dan bagi kempen sepanjang 2016, kempen anjuran bersama Kelab Rotary BSB dan Pusat Menderma Darah telah berjaya mengumpul sebanyak 529 pain darah.

Sementara itu, Penyelia Penderma Darah, Pusat Menderma Darah, Hospital RIPAS, Haji Matusop Haji Daud dipetik menyatakan penghargaan kepada semua orang yang tampil ke hadapan untuk menderma darah semasa kempen itu.

Beliau juga melahirkan perasaan amat gembira dengan kutipan sebanyak 171 pain darah pada kempen kali ini dan berharap lebih ramai penderma akan tampil untuk menderma darah terutama golongan muda dan sihat kerana setiap sumbangan itu amat bermakna.

Dalam pada itu, beliau menyatakan harapan supaya lebih ramai orang akan menyahut seruan untuk menderma darah, kerana menderma darah bukan sahaja mempunyai kebaikan kepada kesihatan tetapi ia juga mampu untuk menghulurkan sumbangan bakti bagi membantu golongan yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA