174 pelatih terima sijil

174 pelatih terima sijil

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Seramai 174 pelatih yang mengikuti Program Pembangunan Belia dan Program Jangka Pendek Pusat Pembangunan Belia sesi 2013-2014 menerima sijil mereka di Majlis Penyampaian Sijil yang berlangsung di Dewan Binadiri, Pusat Pembangunan Belia (PPB), Bandar seri Begawan, hari ini.

Penyampaian sijil kepada para pelatih telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Daripada 174 pelatih tersebut, 36 terdiri daripada mereka yang mengambil Kursus Teknologi, Informasi dan Komunikasi, 20 mengambil Kursus Seni Kulinari dan Bankuet, 11 dalam Kursus Pastri dan Konfeksionari, empat dari Kursus Teknologi Rekaan Fesyen, 10 dalam Kursus Terapi Kecantikan, lapan dari Kursus Kimpalan dan Fabrikasi, 10 lagi mengambil Kursus Baik Pulih Badan Kenderaan, lapan dalam Kursus Pemasangan Paip Air Domestik dan empat pelatih lagi dari Kursus Penghawa Dingin dan Pendinginan.

Manakala bagi Program Jangka Pendek sesi 2013-2014 pula, seramai 46 pelatih adalah dari Program Al-Hikmah ICT dan AutoCAD manakala 17 lagi dari Program Asy-Syifa.

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada sembilan pelatih cemerlang yang terpilih kerana telah menunjukkan kecemerlangan sepanjang mengikuti kursus di pusat berkenaan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sijil kepada para pelatih yang diraikan di majlis itu, kelmarin.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sijil kepada para pelatih yang diraikan di majlis itu, kelmarin.

pg04_150507_c

pg04_150507_b

pg04_150507_e

pg04_150507_j

Antara yang hadir di majlis itu.
Antara yang hadir di majlis itu.

Enam pelatih dari Program Pembangunan Belia dan Program Jangka Pendek sesi 2013-2014 telah menerima Anugerah Terbaik Program Latihan Kemahiran, Anugerah Terbaik Program Pembangunan Diri dan Anugerah Terbaik Program Penempatan Kerja, manakala tiga lagi pelatih Kursus AutoCAD menerima Anugerah Terbaik Kursus AutoCAD sesi pertama, kedua dan ketiga.

Acara kemuncak adalah penyampaian Anugerah Cemerlang Keseluruhan Program Pembangunan Belia Sesi 2013-2014 kepada Dayang Maryani binti Haji Kachi dari Kursus Kemahiran Pastri dan Konfeksionari dan Anugerah Cemerlang Keseluruhan Program Jangka Pendek sesi 2013-2014 kepada Pengiran Zulfadli bin Pengiran Haji Ahmad Pedilah dari Program Asy-Syifa.

Pemangku Penolong Pengarah, PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haswandi bin Haji Osman semasa menyampaikan ucapan di majlis itu berkata, kriteria pemilihan adalah berdasarkan kepada pencapaian pembelajaran dan disiplin sepanjang mengikuti kursus dan perkembangan terkini mereka setelah menamatkan program yang diikuti, tambah beliau lagi.

Antara pelatih PPB sesi 2013-2014 yang diraikan di Majlis Penyampaian Sijil Program Pembangunan Belia dan Program Jangka Pendek.
Antara pelatih PPB sesi 2013-2014 yang diraikan di Majlis Penyampaian Sijil Program Pembangunan Belia dan Program Jangka Pendek.

pg04_150507_h

pg04_150507_f

Beliau menyatakan harapan agar pemberian anugerah-anugerah itu dapat dijadikan sebagai motivasi dan pembakar semangat kepada para lepasan pelatih dan para pelatih yang masih mengikuti kursus agar akan lebih bekerja keras dan berusaha dengan lebih gigih lagi di masa hadapan demi mencapai hasrat dan impian menjadi belia yang berguna bukan sahaja kepada negara akan tetapi juga kepada bangsa dan agama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPB, antara matlamat majlis ini adalah untuk memberikan keyakinan diri serta galakan dan dorongan kepada pelatih-pelatih yang menamatkan kursus dan sebagai penghargaan kepada para pelatih yang telah menamatkan kursus.

Selain itu, ia juga adalah untuk memberikan dorongan kepada pelatih-pelatih yang akan datang agar berusaha dengan keupayaan dan kemampuan yang ada untuk mencapai kejayaan.

PPB, dalam kenyataannya, turut menekankan komitmen untuk sentiasa terus mengorak langkah dalam meningkatkan lagi usaha-usaha ke arah melahirkan belia-belia yang berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai ciri-ciri positif yang lain demi pembangunan sosioekonomi yang selaras dengan Dasar Belia Negara dan Wawasan Negara 2035.

Kerjasama dan sokongan dari semua pihak baik di peringkat keluarga, masyarakat, pihak kerajaan dan pihak swasta adalah merupakan asas dalam memastikan kejayaannya.

ARTIKEL YANG SAMA