175 pelajar baru mula ikuti kursus di MKJB

175 pelajar baru mula ikuti kursus di MKJB

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Julai – Seramai 175 pelajar lagi telah berjaya diterima mengikuti pengajian di Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) bagi Sesi Julai 2015 yang majlis pendaftarannya berlangsung kelmarin, di sini.

Para pelajar berkenaan yang telah menjalani hari kedua orientasi hari ini selama empat hari di maktab tersebut telah mengambil jurusan Diploma Kejuruteraan Marin yang antaranya mengandungi lima kursus HNTEC yang ditawarkan meliputi Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan; Teknologi Maklumat; Rangkaian Komputer; Kejuruteraan Kawalan dan Instrumentasi dan Kejuruteraan Loji.

Pemangku Pengetua MKJB, Awang Norjemee bin Abdullah Jenek ketika ditemui, mengatakan kursus-kursus yang ditawarkan itu adalah lebih menitikberatkan pendidikan dan latihan yang menepati keperluan industri.

“Kursus-kursus tersebut juga akan dapat mempersiapkan dan melahirkan pelajar yang benar-benar berkemahiran, berkualiti serta mempunyai nilai pasaran pekerjaan yang tinggi, serta boleh menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan sosioekonomi negara, seterusnya menjadikan kehidupan rakyat berkualiti tinggi selaras dengan Wawasan Negara 2035,” ujarnya.

Antara para pelajar kemasukan baru di MKJB semasa menyertai hari kedua orientasi, kelmarin.
Antara para pelajar kemasukan baru di MKJB semasa menyertai hari kedua orientasi, kelmarin.

Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada para pelajar yang telah terpilih dan turut menggesa agar mereka mengambil kesempatan itu dengan belajar bersungguh-sungguh di samping sentiasa mematuhi peraturan maktab yang telah ditetapkan.

Selain itu, beliau juga turut menyeru semua pelajar agar sentiasa meletakkan kepentingan dalam nilai ugama serta budaya sebagai penduduk di negara ini yang memegang konsep Melayu Islam Beraja.

Dalam sesi orientasi hari kedua ini, para pelajar telah dilibatkan dengan beberapa acara yang diaturkan oleh pihak maktab, antaranya taklimat mengenai tatatertib sebagai pelajar di maktab tersebut, selain mengenai elaun pembelajaran, serta beberapa aktiviti kurikulum dan juga aktiviti keagamaan dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA