17b euro untuk pelarian

17b euro untuk pelarian

BERLIN, 29 Dis – Negeri-negeri persekutuan Jerman merancang untuk membelanjakan sekitar 17 bilion euro pada 2016 bagi kemasukan pelarian ke negara itu, menurut tinjauan menteri-menteri kewangan mereka dalam akhbar hari ini.

Dana itu akan dibelanjakan ke arah perumahan, makanan, pendidikan dan penjagaan lain bagi pencari perlindungan dari Syria dan tempat bermasalah lain di seluruh Timur Tengah dan Afrika yang berduyun-duyun masuk ke negara ekonomi terbesar Eropah.

Akhbar harian Die Welt mengatakan 16 negeri persekutuan telah memperuntukkan sekitar AS$18 bilion (16.5 bilion euro) tahun depan, selepas kira-kira satu juta pelarian dan penghijrah tidak sekata tiba tahun ini.

Perbelanjaan mungkin akan meningkat sejak bajet itu berdasarkan anggaran rendah dan awal mengenai 800,000 ketibaan penghijrah awal tahun ini, katanya.

Negeri yang paling ramai penduduknya North Rhine-Westphalia, merancang perbelanjaan sekitar empat bilion euro, Bavaria sebanyak 3.3 bilion euro, dan Baden-Wuerttemberg sekitar 2.2 bilion euro, lapor Die Welt.

Dalam kebanyakan kes hanya satu suku daripada ini akan diselaraskan oleh kerajaan persekutuan, yang telah menjamin untuk membayar negeri-negeri 670 euro setiap pelarian sebulan tahun depan, menurut laporan itu.

Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schaeuble pada November mengatakan dia telah memperuntukkan 8 bilion euro sebagai tambahan perbelanjaan persekutuan bagi pelarian pada 2016.

Pada bulan yang sama, Majlis Pakar Ekonomi Jerman dalam laporan tahunannya kepada kerajaan Canselor Angela Merkel meramalkan jumlah perbelanjaan awam tambahan meningkat kira-kira 14.3 bilion euro ke atas pelarian tahun depan. – AFP