18 cedera rempuhan di Mekah

18 cedera rempuhan di Mekah

RIYADH, 3 Julai – Media Arab Saudi semalam melaporkan seramai 18 jemaah cedera dalam kejadian rempuhan di kota suci Mekah sedang pihak berkuasa negara itu menyemak langkah keselamatan mesusulan kejadian rempuhan dahsyat semasa musim haji tahun lalu.

Kejadian terbaharu itu berlaku malam kelmarin dekat Masjid Haram, lapor akhbar Al-Riyadh.

Ia berlaku ketika jemaah sedang berhimpun bagi ibadah umrah Ramadan. Kesemua yang cedera diberi rawatan di tempat kejadian dan tiada sesiapa yang perlu dihantar ke hospital.

Setiap tahun ribuan jemaah berhimpun di Mekah untuk menunaikan ibadah semasa bulan Ramadan – khususnya pada 10 malam terakhir.

Kejadian itu berlaku ketika pihak berkuasa Arab Saudi sedang memperkenalkan langkah keselamatan baharu bagi persiapan musim haji yang berlangsung pada September ini.

Di antara langkah keselamatan baru itu, para jemaah haji tahun ini diwajibkan untuk memakai gelang rantai keselamatan elektronik yang menyimpan maklumat peribadi mereka, termasuk alamat dan rekod perubatan.

Kejadian rempuhan pada musim haji yang lalu menyebabkan lebih 2,000 jemaah terkorban – kejadian paling buruk yang pernah berlaku. – AFP/ArabNews