18 ekor buaya terlepas dari zoo akibat banjir

18 ekor buaya terlepas dari zoo akibat banjir

JAKARTA, 2 Dis (Bernama) – Lapan belas ekor buaya terlepas dari kandang apabila sebuah zoo di Permatang Siantar, Sumatera Utara dilanda banjir akibat hujan lebat yang turun seharian.

Dalam kejadian 9 malam tadi itu kesemua buaya terbabit “bebas” keluar dari kandang apabila air yang naik setinggi tiga meter di Taman Haiwan Permatang Siantar (THPS) itu melepasi pagar kandang. Media-media dalam talian memetik Pengurus Besar THPS, Nandang Suaida sebagai berkata hujan lebat mengakibatkan seluruh kawasan zoo itu ditenggelami air sehingga hanya ternampak bahagian atas bangunan sahaja.

Katanya, para petugas zoo ternampak buaya-buaya itu berenang mencari tempat perlindungan dan segera menangkap beberapa ekor haiwan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta bantuan polis untuk mencari dan menemui semula kesemua 18 ekor buaya itu termasuk lapan ekor yang berada di rumah orang awam dan juga di luar kawasan zoo. “Alhamdulillah sudah tertangkap semuanya kira-kira pukul 11:48 tengah malam tadi,” katanya seperti yang dipetik oleh agensi berita Antara di sini hari ini.

Nandang berkata keadaan banjir surut pagi tadi dan pihaknya sedang menyemak data jumlah binatang dalam zoo berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA