18 maut dalam satu serbuan tentera

CARACAS, 12 Feb – Satu serbuan tentera terhadap suspek penjenayah di kawasan perlombongan bermasalah di tenggara Venezuela telah menyebabkan 18 orang terbunuh menurut organisasi hak asasi manusia dan pemimpin pembangkang kelmarin.

Kejadian itu berlaku Sabtu lalu di sebuah lombong di bandar Guasipati, di negeri Bolivar ketika ‘satu kejadian berbalas-balas tembakan dengan beberapa orang yang belum dikenal pasti telah menyebabkan 18 terkorban’, termasuk seorang wanita, menurut laporan tidak rasmi tentera kepada AFP.

Perlombongan emas haram adalah perkara biasa di kawasan ini. Lima senapang tentera, tujuh pistol, tiga revolver, senapang patah dan dua bom tangan dirampas, menurut laporan tentera. Pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan umum.

Ahli parlimen pembangkang, Americo De Grazia, wakil negari Bolivar, mengecam operasi itu, berkata, “Adakah 18 rakyat mati dan tidak seorang pun askar cedera? Mereka ‘membersihkan kawasan emas ini dengan api dan darah.’

Dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Program Tindakan Pendidikan Venezuela dalam Hak Asasi Manusia, menulis bahawa operasi itu ‘membimbangkan, pembunuhan beramai-ramai baru?’

Rantau ini, yang bersempadan dengan Brazil, merupakan sebahagian daripada Orinoco Mining Arc, kawasan luas yang dimanfaatkan oleh kerajaan dengan syarikat-syarikat multinasional untuk mengantikan hasil minyak yang menurun, telah menimbulkan krisis ekonomi dan politik yang serius di Venezuela.

Pada 14 September 2017, 11 orang maut dalam pertembungan bersenjata dengan tentera di bandar Tumeremo, juga di negeri Bolivar. Tiga minggu sebelum ini, lapan orang terbunuh di El Callao, yang berhampiran dengan Tumeremo dan Guasipati.

Pada bulan Mac 2016, Tumeremo adalah tempat kejadian konfrontasi yang menyebabkan 17 pelombong maut, mayat mereka dijumpai kemudian di dalam pengkebumian beramai-ramai. Beberapa bulan kemudian, 11 orang terbunuh di bandar yang sama, di mana kumpulan penjenayah kerap mengawal deposit emas. – AFP