18 maut serangan bom di Somalia

18 maut serangan bom di Somalia

MOGADISHU, 23 Ogos (Reuters) – Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh di Somalia semalam dalam dua serangan bom yang dilakukan oleh suspek militan Shebab di selatan negara itu dan ibu negara Mogadishu, menurut pegawai-pegawai.

Dalam serangan pertama, pengebom bunuh diri memanid sebuah kenderaan dipenuhi dengan bahan letupan ke arah sebuah pangkalan di pinggir Bandar selatan Kismayo, di mana pasukan pengaman Kesatuan Afrika (AU) dari Kenya selain tentera kerajaan Somalia ditempatkan.

Dalam serangan kedua lewat semalam, sekurang-kurangnya empat orang awam maut apabila sebuah kereta diletupkan berhampiran balai polis di Mogadishu, kata para pegawai.

“Sebuah bas mini dipenuhi bahan letupan diletupkan di dalam bahagian latihan kem tentera,” Mohamed Abisalad, seorang pegawai tentera Somalia di Kismayo, memberitahu AFP.

“Empat belas anggota tentera disahkan maut dan lebih 20 orang mengalami kecederaan,” tambahnya.

Saksi-saksi berkata anggota tentera yang cedera dimasukkan ke hospital utama Kismayo. Seorang saksi Adan Hussein juga berkata sekurang-kurangnya 10 anggota tentera terbunuh dalam serangan berkenaan.

Dalam serangan di Mogadishu, pegawai polis Abdullah Osoble berkata empat orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 10 yang lain mengalami kecederaan apabila serangan bom kereta disasarkan ke atas sebuah balai polis berhampiran dan juga penempatan yang digunakan oleh warga gelandangan.

Militan Shebab yang ada kaitan dengan Al-Qaeda mengaku ia melancarkan serangan di Kismayo, dan berkata jumlah kematian adalah lebih tinggi berbanding yang dilaporkan – sambil mendakwa 100 tentera kerajaan Somalia terbunuh dalam serangan berkenaan.

Shebab berkata dalam satu kenyataan serangan dijalankan “oleh salah seorang anggota mujahidin yang memandu kenderaannya ke kawasan kem latihan lalu meletupkan bom.”

Kumpulan Islam berjuang untuk menggulingkan kerajaan yang disokong antarabangsa di Mogadishu.