18 pasukan memulakan aksi

18 pasukan memulakan aksi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Sebanyak 18 buah pasukan bersaing di dalam tiga kumpulan berbeza pada peringkat awal Kejohanan Bola Keranjang NBT dalam Sukan Ria Antara Syarikat yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Batu Bersurat sejak 17 April yang lalu.

Pada hari pertama kejohanan, empat pasukan dalam Kumpulan A berentap termasuk Unit Penyelenggaraan Istana (IMD) yang mengalahkan Pasukan Penerbangan Diraja Brunei dengan mata 101-84.

Satu lagi perlawanan pada hari pertama ialah perlawanan bagi kumpulan C di antara Pasukan Jerudong Park Medical Center (JPMC) yang tewas di tangan Bank Standard Chartered dengan mata 58-83.

Cabaran diteruskan dalam Kumpulan A pada hari kedua menyaksikan empat lagi pasukan dalam kumpulan itu berentap termasuk Pasukan Fashion Furniture and Construction Co Sdn Bhd menentang Goldmyne Hardware Sdn Bhd yang berkesudahan dengan kemenangan di pihak Fashion Furniture dengan mata 78-6.

Dalam kumpulan yang sama, Rentokil Initial (B) Sdn Bhd pula menunjukkan belangnya apabila berjaya membenam Pasukan Gong Cha yang terpaksa akur dengan mata 97-38.

Antara aksi di dalam kejohanan Bola Keranjang Piala NBT bersempena Sukan Ria Antara Syarikat 2016.
Antara aksi di dalam kejohanan Bola Keranjang Piala NBT bersempena Sukan Ria Antara Syarikat 2016.

Semalam berlangsung dua lagi perlawanan, kali ini giliran pasukan-pasukan dalam kumpulan B untuk memulakan cabaran masing-masing, pada perlawanan awal Pasukan CCS Com (B) Sdn Bhd menentang Pasukan D’sunlit Sdn Bhd yang berkesudahan dengan kemenangan di pihak D’sunlit dengan mata 53-84.

Satu lagi perlawanan pada hari ketiga kejohanan adalah di antara Pasukan HSBC menentang Pasukan Propel Services and Trading (PST) Sdn Bhd yang akhirnya berpihak kepada PST dengan mata 46-72.

Pasukan-pasukan yang berentap dalam Kumpulan A pada kejohanan kali ini termasuk Fashion Furniture and Construction Co Sdn Bhd, Unit Penyelenggaraan Istana (IMD), Penerbangan Diraja Brunei, Goldmyne Hardware Sdn Bhd dan Gong Cha.

Sementara dalam Kumpulan B pula terdiri daripada D’Sunlit Sdn Bhd, HSBC, CCS Com (B) Sdn Bhd, Kingston Beverage and Creamery Sdn Bhd, Bank Baiduri Berhad dan PST Sdn Bhd.

Cabaran di Kumpulan C pula antaranya akan disahut oleh pasukan Yuan Thong Enterprise, Bengkel Kereta Berakas, Pusat Kesihatan Jerudong Park, Bank Standard Chartered, QAF Brunei Sdn Bhd dan Digimark Enterprise.

ARTIKEL YANG SAMA