18 pelajar PTE terima anugerah cemerlang

18 pelajar PTE terima anugerah cemerlang

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Seramai 18 orang pelajar dari pusat-pusat tingkatan enam di negara ini, hari ini, telah menerima anugerah masing-masing setelah mencapai kecemerlangan dalam Pertandingan ‘University of Toronto National Biology Competition 2015’, yang dianjurkan oleh University of Toronto, Kanada. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Marina B. Laker pada majlis yang diadakan di Pusat Latihan Serbaguna (MPTC) CAE Brunei, di sini.

Sebanyak 4,122 penyertaan daripada para pelajar seluruh dunia telah mengikuti pertandingan berkenaan yang telah diadakan pada tahun lepas, dan 192 daripadanya pelajar tingkatan enam Brunei iaitu dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Pusat Tingkatan Enam Meragang dan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah.

Di antara 192 orang tersebut, lima orang pelajar terbaik dari setiap sekolah telah menerima Sijil Pencapaian (The Certificate of Achievement) iaitu Awang Mahmoud Adam bin Osman dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Khor Chun Kit dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Awang Muhd Muiz bin Ahmad dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Kong Jia En dari Pusat Tingkatan Enam Meragang, dan Awang Abdul Muid bin Abdullah dari Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah.

Para pelajar yang menerima anugerah bergambar ramai bersama Puan Yang Terutama Marina B. Laker.
Para pelajar yang menerima anugerah bergambar ramai bersama Puan Yang Terutama Marina B. Laker.

Selain itu, lapan orang telah menerima sijil ‘Certificates From the Canadian High Com’ bagi tingkatan enam atas, dan lima orang telah menerima sijil ‘Certificates From the Canadian High Com’ bagi tingkatan enam bawah.

Pertandingan berkenaan diadakan bagi menguji pelajar tentang pengetahuan komprehensif konsep Biologi mereka, selain dapat memperkayakan pengetahuan mereka dan dapat menilai standard mereka di peringkat antarabangsa.

Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan telah menjadi tuan rumah pertandingan berkenaan sejak tahun 2002 lagi, dan terus disokong dan ditaja sijilnya oleh Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA