18 peserta perdengarkan hafazan

18 peserta perdengarkan hafazan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Seramai 18 daripada 23 peserta telah memperdengarkan hafazan masing-masing pada hari pertama Musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan tahun 1436 Hijrah, hari ini, yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Mereka yang memperdengarkan hafazan, hari ini, ialah peserta kategori B (seorang lelaki, 4 perempuan), C (4 lelaki, seorang perempuan), D (2 lelaki, 3 perempuan) dan E (3 peserta lelaki), manakala lima peserta kategori A (5 perempuan) akan memperdengarkan hafazan pada hari kedua pertandingan esok di Majlis Penyampaian Cenderamata kepada para peserta dan hakim musabaqah.

Kategori A melibatkan peserta kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah pada 1 Januari 2015 dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori A, yang mana mereka menghafaz Surah-Surah Pilihan dan Juz ‘Amma iaitu menghafaz Surah-Surah Pilihan dari Juz 30.

Kategori B pula menghafaz Surah-Surah Khas iaitu menghafaz Surah As-Sajdah, Surah Yaa Siin, Surah Al-Insaan, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al-Waqi’ah, Surah Munaffiqun dan Surah Al-Mulk berserta Pemahaman Surah Mumtahannah, Surah At-Talak dan Surah Al-Jumuah.

Kategori ini dibukakan bagi kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah pada 1 Januari 2015 dan tidak pernah menjadi johan sebanyak dua kali dalam Kategori B dan bukan terdiri daripada penuntut Institut Tahfiz Al-Quran.

Salah seorang peserta yang memperdengarkan hafazan pada hari pertama pertandingan, kelmarin.
Salah seorang peserta yang memperdengarkan hafazan pada hari pertama pertandingan, kelmarin.
Antara yang hadir menyaksikan Musabaqah Menghafaz Al-Quran beserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan tahun 1436 Hijrah
Antara yang hadir menyaksikan Musabaqah Menghafaz Al-Quran beserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan tahun 1436 Hijrah

Manakala itu, Kategori C pula menghafaz tiga Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 3 berserta Pemahaman Juz 2 bagi semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 10, 20 dan 30 Juz serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori C sebanyak dua kali.

Kategori D perlu menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu dari Juz 1 hingga Juz 15 berserta Pemahaman Juz 9 bagi semua peringkat umur dan tidak pernah menjadi johan sebanyak tiga kali dalam Kategori C dan tidak pernah menjadi johan tiga kali dalam Musabaqah Menghafaz 30 Juz serta tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam Kategori 20 dan 30 Juz.

Sementara itu, Kategori E dibukakan kepada semua peringkat umur dan tidak menjadi johan tiga tahun berturut-turut dalam kategori menghafaz 30 Juz. Peserta yang pernah menjadi johan 3 tahun berturut-turut boleh menyertai pertandingan semula selepas dua tahun kemudian pertandingan diadakan.

Para peserta bagi kategori ini menghafaz 30 Juz Al-Quran daripada Juz 1 hingga Juz 30 serta pemahaman Juz 19.

Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama, pertandingan ini bertujuan menggalakkan umat Islam di negara ini mencintai Al-Quran melalui hafazan terutama sekali golongan kanak-kanak, murid dan remaja.

Di samping itu, ia membolehkan mereka membaca dan memahami Al-Quran dengan sempurna tanpa melihat kitab suci Al-Quran serta menjadikan budaya membaca Al-Quran sebagai satu kebiasaan dan amalan harian, sekali gus menambahkan lagi golongan penghafaz Al-Quran di negara ini.

Kesemua peserta peringkat akhir ini merupakan mereka yang terpilih sebagai peserta terbaik daripada 48 orang pada peringkat separuh akhir yang telah berlangsung di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 20 hingga 23 April lalu.

ARTIKEL YANG SAMA