18 sekolah terima alat kesihatan

18 sekolah terima alat kesihatan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Sebanyak 18 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah dipilih untuk menerima peralatan sihat dan cergas bagi kegunaan Program Sihat dan Cergas (SDC) di sekolah-sekolah.

Sehubungan itu, penyerahan peralatan ujian kecergasan jasmani telah diadakan hari ini di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, dan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Roslin bin Suhailee.

Semasa menyampaikan ucapannya pada majlis itu, Awang Roslin menekankan mengenai masalah obes dan berat badan berlebihan serta kurangnya aktiviti fizikal yang masih ditahap membimbangkan, serta usaha-usaha yang dilaksanakan untuk menanganinya di peringkat sekolah.

Salah satu usaha itu adalah Program (SDC) untuk pelajar sekolah-sekolah rendah dan menengah, yang menurutnya diusahakan untuk melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang secara seimbang dan holistik.

Ini termasuk, sihat dari segi jasmani, rohani dan emosi selaras dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan dan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk menjadikan negara terkenal di seluruh dunia dengan kehidupan rakyat yang berkualiti.

Awang Roslin ketika menyerahkan peralatan ujian kecergasan kepada salah seorang guru.
Awang Roslin ketika menyerahkan peralatan ujian kecergasan kepada salah seorang guru.
Haji Mohd Ali (kanan) menerima peralatan ujian kecergasan daripada Awang Roslin.
Haji Mohd Ali (kanan) menerima peralatan ujian kecergasan daripada Awang Roslin.
Dayang Debbie Yanti menyatakan dengan adanya alat kecergasan jasmani ini akan dapat melihat se-jauh mana keberkesanannya dalam menilai tahap kesihatan para pelajar dan warga sekolah.
Dayang Debbie Yanti menyatakan dengan adanya alat kecergasan jasmani ini akan dapat melihat se-jauh mana keberkesanannya dalam menilai tahap kesihatan para pelajar dan warga sekolah.

Beliau turut mengongsi perancangan Jabatan Pendidikan Kokurikulum bagi tahun 2016, iaitu menyediakan peruntukan bagi pembelian peralatan sihat dan cergas untuk kajian kecergasan jasmani selain meningkatkan penerapan pemahaman secara mendalam mengikut garis panduan kepada guru mengenai cara pelaksanaan dan teknik yang boleh menarik minat pelajar dalam melaksanakan ujian kecergasan di sekolah.

Di samping itu, tambahnya, penerapan gaya hidup sihat melalui aplikasi yang boleh dimuat turun melalui media sosial serta membantu guru supaya dapat mengenal pasti sebab penglibatan murid dan pelajar dalam kegiatan jasmani semasa pelajaran pendudukan jasmani dan aktiviti kokurikulum.

Beliau seterusnya berharap, ujian kecergasan jasmani yang dilaksanakan nanti bukan saja mengukur dan merekodkan tahap kecergasan fizikal pelajar tapi melalui ujian tersebut dapat memberi maklumat bagi pelajar menganalisis dan mentafsir kecergasan fizikal sendiri, mengetahui tahap kecergasan.

“Selain itu jabatan serta sekolah juga merancang dan melakukan tindakan susulan bagi pelajar yang gagal dan lemah dalam ujian kecergasan jasmani dan yang mempunyai masalah lebih berat badan dan obes,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan harapan dengan penyerahan peralatan ujian kecergasan jasmani ini dapat meningkatkan motivasi sekolah untuk meningkatkan tahap kecergasan serta kesihatan pelajar dan masyarakat sekolah melalui program yang dianjurkan bersama Jabatan pendidikan Kokurikulum serta agensi berkaitan.

Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum juga diseru untuk meneliti data-data yang didapati serta dapat berbincang dengan pihak sekolah dalam menyediakan program yang lebih komprehensif dan mapan untuk melahirkan pelajar sihat dan cergas.

Sementara itu, temu bual bersama salah seorang guru, Dayang Debbie Yanti binti Abdul Ghani dari Sekolah Rendah Rataie Mukim Bokok, Temburong berkata, dengan adanya peralatan ujian kecergasan jasmani ini, ia memberi faedah dan manfaat kepada guru-guru dan murid sekolah pada masa akan datang.

Beliau seterusnya melahirkan harapan supaya guru-guru latihan jasmani akan dapat mengambil apa saja peluang untuk melihat sejauh mana dan menilai keberkesanan alat-alat yang diberikan dalam menilai kecergasan warga sekolah yang ada di sekolah.

Manakala itu, Timbalan Pengetua Pentadbiran Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Kilanas Haji Mohd Ali bin Haji Zainal pula berkata, “Pencapaian sukan di sekolah ini amat memberangsangkan terutama dalam sukan badminton”.

Dengan adanya peralatan ujian kecergasan ini, katanya, akan dapat membantu guru-guru latihan jasmani dalam melaksanakan penganalisisan penuntut-penuntut dari segi kesihatan, kecergasan dan sebagainya.

Beliau seterusnya menambah, dengan adanya peralatan ini juga, penuntut-penuntut yang kurang memuaskan dari segi tahap kecergasan, boleh diambil tindakan pihak sekolah untuk membuat perancangan dengan lebih teratur supaya penuntut ini dapat menyertai aktiviti untuk kesihatan masing-masing.

Selain itu, beliau turut menyeru guru-guru latihan jasmani supaya dapat mengadakan rancangan yang lebih teratur untuk meningkatkan pencapaian sukan dan kesihatan penuntut juga.

Pada tahun ini, peralatan ujian kecergasan yang diserahkan terdiri daripada alat pengesan tekanan darah automatik, pengukur berat badan digital, jam randik, tali skip, alat pengesan lemak badan dan lain-lain.

ARTIKEL YANG SAMA