18 warganegara asing ditahan

18 warganegara asing ditahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Bertindak atas maklumat yang terkumpul dan aduan daripada orang ramai, sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) telah pun melaksanakan serbuan mengejut ke atas bilik-bilik sewa yang dikenal pasti terdapat pesalah-pesalah Imigresen di Mukim Sengkurong dan Mukim Pengkalan Batu baru-baru ini.

Operasi Ops Cekup JIPK 70/2015 berlangsung selama lima jam bermula pada tengah malam Khamis hingga pagi Jumaat membabitkan 26 pegawai dengan diketuai oleh Ketua Pegawai Imigresen Kanan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JIPK, di sini, dalam serbuan yang berasingan tersebut, 18 orang warga-negara asing termasuk tujuh orang perempuan asing telah pun ditahan kerana gagal untuk menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas Imigresen yang masih sah.

Semasa serbuan di dua buah bilik di Mukim Pengkalan Batu, bilik sewa itu seolah-olah tidak ada penghuni dan pintu utama bilik sewa dikunci dari luar.

Perempuan yang ditangkap ketika cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam semak.
Perempuan yang ditangkap ketika cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam semak.
Tiga orang warga asing gagal menunjukkan dokumen yg masih sah dan mengunci diri di dalam sebuah bilik sewa.
Tiga orang warga asing gagal menunjukkan dokumen yg masih sah dan mengunci diri di dalam sebuah bilik sewa.

Namun, pegawai bertugas sempat mendapati lampu ditutup dari dalam bilik dan memaksa pegawai bertugas membuka pintu masuk utama dan mendapati empat orang warga asing bersembunyi di bilik tidur berasingan manakala di bilik lain, seorang perempuan berusaha untuk melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak belakang rumah sewa.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai bertugas lebih awal mengepong kawasan terbabit dan semua mereka dibawa dan ditahan sementara di Balai Polis Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas imigresen yang masih sah .

Empat Pas khas dikeluarkan ke atas individu asing sementara pasportnya ditahan bagi siasatan dan tapisan lanjut.

Sehubungan itu, pihak majikan atau penjamin pas kerja/lawatan, diingatkan supaya sentiasa memastikan tempoh pas imigresen pekerja asing/pemegang pas lawatan masih sah bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan.

Mereka yang pas imigresennya mansuh akan diusir setelah dipenjarakan dan secara pentadbiran akan disenaraikan hitam manakala penjamin juga akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

Majikan juga diingatkan supaya tidak mengambil pekerja warganegara asing yang bukan atas jaminan mereka atau ‘Amah Pinjam/pemegang pas melawat’ kerana jika sabit kesalahan, pihak majikan akan berdepan dengan tindakan undang-undang, denda tidak kurang dari $3,000 bagi setiap pesalah Imigresen.

ARTIKEL YANG SAMA