180 tebusan Boko Haram dibebaskan

180 tebusan Boko Haram dibebaskan

MAIDUGURI, Nigeria, 3 Ogos (AFP) – Tentera Nigeria berjaya membebaskan 178 orang yang dijadikan tebusan oleh Boko Haram termasuk lebih 100 kanak-kanak, menurutnya lewat semalam, berikutan beberapa siri serangan maut oleh kumpulan jihad di bahagian tenggara negara berkenaan.

“Dalam operasi tersebut, 178 orang yang ditahan oleh pengganas berjaya diselamatkan, mereka termasuk 101 kanak-kanak, 67 wanita dan 10 orang lelaki,” kata jurucakap tentera Kolonel Tukur Gusau dalam satu kenyataan.

Usaha penyelamatan yang dramatik itu, yang menurut tentera menjurus kepada penawanan komander Boko Haram, berlaku berhampiran Aulari kira-kira 70 kilometer di selatan Maiduguri, pekan terbesar di tenggara Nigeria, kata jurucakap itu.

Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan bila operasi berkenaan dijalankan.

Tentera Nigeria sudah pun mengumumkan pembebasan beratus-ratus orang yang ditahan Boko Haram sejak beberepa bulan lepas, terutama di kawasan hutan Sambisa, yang sudah lama menjadi kubu kuat kumpulan berkenaan.

Pembebasan tebusan tersebut dibuat selepas beberapa serangan oleh para pejuang Boko Haram sejak beberapa hari lepas, yang membunuh 13 orang dalam serangan ke atas kampung Malari di negeri Borno di tenggara Nigeria pada awal semalam, kata para saksi.

Juga semalam, tentera berkata mereka melancarkan serangan udara di timur laut untuk mengusir kumpulan jihad serta membunuh “sejumlah besar” pelampau.

ARTIKEL YANG SAMA