1,800 keluarga terlibat kajian profiling

1,800 keluarga terlibat kajian profiling

SEMPORNA, 3 Ogos (Bernama) – Sebanyak 1,800 keluarga Pala’u dijangka terlibat dalam kajian profiling fasa kedua yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) melibatkan dua pulau iaitu Terumbu Sibangkat dan Pulau Sibangkat, dekat sini, bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Ruji Ubi berkata kajian profiling selama empat hari itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan termasuk Jabatan Perangkaan, Pejabat Daerah Semporna, Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Taman-taman Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Kesihatan.

“Berdasarkan data yang diberikan oleh Taman-taman Sabah, terdapat lebih kurang 273 buah rumah di kawasan berkenaan iaitu masing-masing 257 rumah di Terumbu Sibangkat dan 16 rumah di Pulau Sibangkat yang majoritinya didiami oleh komuniti berbangsa Suluk dan selebihnya dihuni oleh Pala’u yang terlibat dalam proses pembancian ini,” katanya selepas mendengar taklimat persediaan bancian itu di sini hari ini.

Ruji berkata kajian itu bertujuan mengetahui bilangan sebenar masyarakat Pala’u di daerah Semporna selain mendapatkan maklumat asas mengenai sosio-budaya, adat resam, kepercayaan dan pekerjaan untuk tujuan merangka pelan strategi jangka panjang dalam usaha untuk menangani masalah Pala’u di negara ini.

“Bancian ini dilakukan hanya untuk mengumpul data bilangan Pala’u dan jenis dokumen yang mereka miliki dan tindakan selanjutnya akan dibincangkan setelah data dikumpul bagi membuat perancangan yang sesuai untuk mengatasi masalah Pala’u,” katanya.

Beliau berkata kesemua kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) yang diduduki oleh Pala’u terutama di kawasan Kunak dan Tawau akan terlibat dalam kajian profiling itu dalam tempoh masa yang akan diumumkan kelak.

Ruji berkata kajian profiling itu memberi manfaat kepada golongan Pala’u dari segi pemberian bantuan daripada Jabatan Kebajikan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan sumbangan kepada golongan itu.