18,000 dalam pekerjaan tidak formal di Brunei

18,000 dalam pekerjaan tidak formal di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Bilangan orang yang bekerja dalam pekerjaan tidak formal di Brunei Darussalam dianggarkan 18,000 dan usaha memformalkan mereka yang bekerja dalam pekerjaan tidak formal di negara ini adalah digalakkan menerusi meluaskan rangkaian keselamatan sosial, usaha memulakan perniagaan, peningkatan perkhidmatan kerajaan dan mengukuhkan perkongsian swasta dan awam.

Ini dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong pada Sesi ke-24 Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN dan Mesyuarat Campur Tiga Menteri-menteri Buruh ASEAN ke-9 di Vientiane, Laos baru-baru ini.

Pada mesyuarat itu, para Menteri ASEAN yang menyelia buruh dan pekerjaan telah mengkaji semula dan bersetuju untuk meningkatkan kegiatan pada masa hadapan untuk melanjutkan lagi kerjasama teknikal buruh antara negara-negara anggota ASEAN.

Para Menteri Buruh ASEAN telah menyokong beberapa rancangan kerja bekerjasama dilaksanakan antara tahun 2016 dan 2020 bagi Jawatankuasa ASEAN Pelaksanaan Deklarasi Perlindungan dan Penggalakan Hak-hak Pekerja Penghijrah (ACMW) ASEAN, dan Kumpulan Kerja SLOM berhubung Amalan Progresif Buruh untuk meningkatkan persaingan ASEAN (SLOM-WG).

Inisiatif program kerja baru menyeluruh juga dibentuk bagi Menteri-menteri Buruh ASEAN dengan matlamat merealisasikan Komuniti Bersepadu ASEAN menjelang 2025.

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama delegasi Brunei yang menghadiri mesyuarat berkenaan di Vientiene, Laos.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama delegasi Brunei yang menghadiri mesyuarat berkenaan di Vientiene, Laos.

Pada mesyuarat yang bermula pada 15 Mei itu, para menteri bersetuju untuk menyokong “Deklarasi Vientiane bagi Peralihan daripada Pekerjaan Tidak Formal kepada Pekerjaan Formal ke arah Galakan Pekerjaan Yang Memuaskan di ASEAN.”

Deklarasi Vientiane dijangka dikemukakan kepada Sidang Mesyuarat ASEAN ke-28 di Kerajaan Republik Demokratik Rakyat Laos pada bulan September 2016 bagi pembentukannya.

Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial Kerajaan Republik Demokratik Rakyat Lao, Dr Khamphaeng Xaysomphaeng yang mempengerusikan mesyuarat itu, melahirkan penghargaannya di atas sokongan yang diberikan oleh rakan sejawatan beliau dari ASEAN sementara juga menekankan pentingnya mesyuarat itu dalam mengkaji semula kemajuan kerjasama buruh antara negara-negara anggota ASEAN.

Menteri Buruh ASEAN juga membincangkan kemajuan yang dicapai dan juga cabaran yang masih dipertimbangkan, draf instrumen ASEAN bagi perlindungan dan penggalakan hak-hak pekerja penghijrah.

Pada mesyuarat itu para menteri bersetuju bahawa had akhir baru bagi memuktamadkan instrumen draf ialah April 2017.

Juga hadir pada mesyuarat itu ialah menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.

Delegasi Brunei termasuklah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam; Duta Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Haji Na’aim bin Mohd Salleh; Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof dan juga para pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Buruh.

ARTIKEL YANG SAMA