18,000 remaja hamil setiap tahun

18,000 remaja hamil setiap tahun

PUTRAJAYA 29 Okt (Bernama) – Purata 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja mengandung luar nikah.

“Secara purata ada 1,500 kes remaja hamil setiap bulan dan 50 kes sehari di seluruh negara,” katanya selepas majlis pelancaran program Generasiku Sayang peringkat kebangsaan oleh Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

Mengenai bilangan remaja yang hamil akibat dirogol, Dr Subramaniam berkata jumlahnya amat kecil.

Beliau berkata kehamilan di kalangan remaja bukan sahaja memberi kesan kepada individu berkenaan, malah dikhuatiri boleh mengundang risiko kematian bayi dalam kandungan selain ibu itu sendiri.

“Kadangkala ada remaja yang sembunyikan kehamilan sehingga mendatangkan risiko kepada badan sendiri dan ada yang meninggal dunia semasa proses kehamilan atau ketika bersalin.

“Isu remaja hamil ini amat sensitif, tidak seperti orang sakit boleh jumpa doktor dan dapat rawatan,” katanya.

Menurutnya, Kaji Selidik Kesihatan Pelajar Berasaskan Sekolah Global kendalian Kementerian Kesihatan pada 2012 membabitkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di seluruh negara, mendapati 50.4 peratus yang ditemui mengaku mengadakan hubungan seks kali pertama sebelum usia 14 tahun.

“Jika ini tidak ditangani ia akan meningkatkan lagi risiko kehamilan di kalangan remaja dan seterusnya mengundang kesan negatif seperti pembuangan bayi,” kata Dr Subramaniam.

ARTIKEL YANG SAMA