18,200 tahanan dibebaskan

18,200 tahanan dibebaskan

HANOI, 28 Ogos – Vietnam pada hari ini berkata ia akan membebaskan lebih daripada 18,200 tahanan untuk menandakan perayaan hari kemerdekaannya, tetapi aktivis politik akan dikecualikan daripada amnesti kedua terbesar negara.

Tahanan akan dibebaskan dalam kelompok bermula Isnin sebelum ulang tahun Hari Kebangsaan Negara ke-70, yang jatuh pada 2 September.

“Presiden telah memutuskan untuk memberi pengampunan kepada 18,298 tahanan, tetapi tidak ada seorang di antara mereka yang telah melakukan jenayah ke atas keselamatan negara,” kata Timbalan Menteri Keselamatan Awam Le Quy Vuong pada satu persidangan akhbar di Hanoi.

Tahanan yang akan dibebaskan telah dijatuhi hukuman atas pelbagai jenayah termasuk pembunuhan, dadah dan penyeludupan orang dan rasuah.

Amnesti terbesar Vietnam dilakukan pada 2009 apabila 20,599 tahanan dibebaskan, kata pegawai.

Tahun ini, 34 warga asing, termasuk enam warga Laos, seorang warga Kemboja, seorang warga Thai, dua warga Australia, 16 warga China, enam warga Malaysia dan dua warga Filipina, juga akan dibebaskan.

Pegawai tidak menjelaskan jenayah yang dilakukan oleh tahanan asing.

“Amnesti mencerminkan ciri-ciri kemanusiaan Parti Komunis dan negara Vietnam, dan bertujuan menggalak banduan supaya menjadi rakyat berguna,” beritahu Giang Son, penolong pengurus pejabat presiden, kepada wartawan pada persidangan akhbar.

Vietnam telah dikecam oleh kumpulan hak dan kerajaan Barat disebabkan dasarnya yang tidak bertolak ansur terhadap penentangan politik dan pencabulan sistematik ke atas kebebasan beragama. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA