186 maut akib...

186 maut akibat kolera di Yaman

SANAA, Yaman, 18 Mei – Merebaknya wabak kolera di Yaman setakat itu telah menjangkiti 14,000 orang dengan sekurang-kurangnya 186 kematian berkaitan sejak 27 April, menurut keterangan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam akaun Twitter rasmi mereka.

Kebanyakan kes dilaporkan dari ibu negeri Sanaa, lapor WHO.

Statistik terbaru itu tiba 24 jam selepas status kecemasan kesihatan darurat diisytiharkan oleh Kementerian Kesihatan Awam dan Penduduk di Yaman di ibu negeri Sanaa, selepas kematian 115 mangsa kolera dan jumlah kes-kes disyaki mencapai 2,567 orang, menurut agensi berita kerajaan Yaman, Saba.

“Pengisytiharan itu tiba selepas epidemik kolera merebak ke seluruh daerah di ibu negara itu dan di kawasan-kawasan kejiranan,” menurut kementerian kesihatan Yaman yang meminta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa untuk membantu hospital-hospital Yaman bertahan dengan “bencana manusia yang belum pernah berlaku sebelumnya.”

Majlis Antarabangsa Palang Merah memberi amaran bahawa hospital-hospital Yaman kini bergelut untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Sejak menularnya wabak kolera di Yaman pada bulan Oktober tahun lepas, seramai 186 orang telah direkodkan maut disebabkan wabak berkenaan. – AFP
Sejak menularnya wabak kolera di Yaman pada bulan Oktober tahun lepas, seramai 186 orang telah direkodkan maut disebabkan wabak berkenaan. – AFP

Gelombang pertama merebaknya kolera di Yaman telah diumumkan pada 6 Oktober 2016 oleh Kementerian Kesihatan Awam dan Penduduk Yaman.

WHO memberi amaran bahawa sistem penjagaan kesihatan Yaman kini di ambang keruntuhan apabila beberapa hospital telah ditutup disebabkan konflik yang sedang berjalan.

Ia dikatakan hanya 45 peratus hospital Yaman sedang beroperasi, meskipun begitu mereka juga berdepan dengan kekurangan bekalan dan kakitangan.

Yaman, sebuah negara Arab miskin di selatan semenanjung Arab, telah terlibat dengan perang saudara sejak dua tahun lepas.

Peperangan itu melibatkan sekutu Iran iaitu gerakan Houthi yang disokong oleh tentera yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Salleh, menentang kerajaan yang disokong oleh Arab Saudi yang setia kepada Presiden Abd-Rabbo Mansour Hadi.

Sanaa dan kebanyakan wilayah utara dikawal oleh pemberontak Houthi.

Perang saudara itu setakat ini telah mengorbankan lebih 10,000 orang, separuh daripadanya orang awam, dan menyebabkan dua juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut sebuah agensi kemanusiaan. – Xinhua