19 institusi tawar pelbagai program

19 institusi tawar pelbagai program

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Pameran Pendidikan Malaysia yang diadakan buat kali kedua di negara ini oleh RexpoCentral Sdn Bhd dari Malaysia membuka tirainya hari ini di Hotel Orchid Garden, Anggerek Desa, di mana ia akan berlangsung sehingga esok dari jam 4 petang hingga 9 malam.

Pameran yang diadakan dengan kerjasama rakan kongsi tempatan, MEG Educational Services, menampilkan 19 buah institusi pendidikan dari Malaysia bagi menawarkan pelbagai program daripada diploma hingga lepasan ijazah, termasuk ijazah sarjana dan juga kedoktoran.

Antara institusi yang turut menyertai pameran berkenaan ialah Brickfields Asia College (BAC), Taylor’s University, Infrastructur University Kuala Lumpur (IUKL), SEGi University & Colleges, Quest International University Perak (QIUP), Asia Pacific University of Technology & Innovation, German-Malaysia Institute (GMI), Management & Science University (MSU), dan sebagainya.

Rakan Kongsi Senior Rexpo-Central Sdn Bhd, Ahmad Rezal Chan, ketika ditemui Media Permata menjelaskan bahawa institusi-institusi yang ikut serta kebanyakannya datang dari Semenanjung Malaysia, tetapi terdapat beberapa institusi dari Malaysia Timur, dan terdiri daripada kedua-dua institusi awam dan juga swasta di Malaysia.

“Permintaan untuk pendidikan Malaysia semakin meningkat dalam kalangan rakyat Brunei. Ini adalah kerana jarak.

Pameran Pendidikan Malaysia menampilkan 19 buah institusi pendidikan.
Pameran Pendidikan Malaysia menampilkan 19 buah institusi pendidikan.
Kelihatan beberapa pelajar bersama keluarga mereka mendengar penjelasan daripada wakil salah satu institusi pendidikan semasa pameran itu.
Kelihatan beberapa pelajar bersama keluarga mereka mendengar penjelasan daripada wakil salah satu institusi pendidikan semasa pameran itu.

“Ia adalah berhampiran untuk pelajar pergi ke Malaysia, dan pendidikan Malaysia bukan sahaja yang mempunyai nilai dan kualiti tetapi juga mampu dibayar (affordable) oleh kebanyakan rakyat Brunei untuk menjalani program ijazah sarjana muda dan juga program lepasan ijazah di Malaysia.”

Sementara itu, Dayang Rozin binti Jaafar dari MEG Educational Services pula berkata, MEG membantu para pelajar dari awal proses permohonan seperti mengenal pasti apakah kursus yang sesuai untuk mereka.

“Oleh itu, kami bekerjasama rapat dengan agensi-agensi seperti Kementerian Pendidikan, dan juga perbankan, untuk melihat apakah kursus yang akan memenuhi keperluan Brunei.”

Semasa proses permohonan itu, ujarnya lagi, mereka juga membantu pelajar untuk mendapatkan pengesahan akreditasi (accreditation approval) bagi pelbagai kursus mereka.

“Kadang-kadang, kami melakukan sedikit kaunseling mengenai kewangan seperti mengenai kos sara hidup, apakah perbelanjaan yang pelajar patut jangkakan untuk diperuntukkan bagi jangka masa setahun atau dua tahun atau tiga tahun,” tambah beliau.

Selain itu, menurut Dayang Rozin lagi, mereka juga membantu para pelajar dalam dokumentasi untuk mendapatkan pinjaman pendidikan sama ada dengan kerajaan atau dengan bank-bank swasta.

ARTIKEL YANG SAMA