19 peserta PROPAZ terima sijil

19 peserta PROPAZ terima sijil

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Bagi memberikan penghargaan dan dorongan serta semangat kepada para pelajar yang berjaya mengikuti Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) selama sembilan bulan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan satu Majlis Penyampaian Sijil Peserta PROPAZ kali ke-8 bagi sesi tahun 2015-2016.

Majlis yang diadakan di Dewan Multaga, KHEU, Jalan Dewan Majlis itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, KHEU, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah, serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan di KHEU dan KKBS.

Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Jabatan Majlis Ugama Islam di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop selaku Pengerusi Majlis, di dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan mengenai perkembangan yang telah dilaksanakan bagi memastikan para belia keluaran Pusat Pembangunan Belia (PPB) mempunyai kualiti yang tinggi selaras kehendak pasaran industri pekerjaan dan keusahawanan.

“Para belia tersebut akan menjadi lebih ‘marketable’ memandangkan Persijilan City & Guilds bukan sahaja diiktiraf di dalam negara bahkan juga di luar negara dan pastinya para belia ini lebih berpeluang untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi.”

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menyampaikan Anugerah Cemerlang Pencapaian Hidup kepada Dayang Salmiah binti Haji Tarang semasa Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) kali ke-8 bagi sesi tahun 2015-2016.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menyampaikan Anugerah Cemerlang Pencapaian Hidup kepada Dayang Salmiah binti Haji Tarang semasa Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) kali ke-8 bagi sesi tahun 2015-2016.

Beliau juga berterima kasih kepada PPB di atas peluang dan ruang yang diberikan kepada para peserta PROPAZ dalam mendapatkan latihan kemahiran yang sama seperti para pelatih PPB dengan latihan di peringkat yang diperkenalkan.

Penerima-penerima sijil berkenaan telah mengikuti dan menamatkan program yang telah diadakan selama sembilan bulan. Seramai 19 orang peserta telah mengikuti kursus dalam enam bidang kemahiran iaitu lima daripadanya mengikuti dalam bidang ‘IT For Office Application’, lima dalam bidang ‘Skill Proficiency Certificate (Food Beverage Services)’, seorang bagi ‘Skill Proficiency Certificate (Food Preparation)’, empat bagi ‘Skill Proficiency Certificate (Fabrication, Welding and Pipework)’, dua bagi Kursus Asas Kemahiran Terapi Kecantikan, dan dua orang dalam Kursus Asas Kemahiran Teknologi Rekaan Fesyen.

Mulai tahun 2015, PPB telah menaik taraf modul latihan kemahiran kepada Persijilan City & Guilds. PPB juga merupakan institusi latihan kerajaan yang pertama yang diluluskan bagi pengiktirafan persijilan tahap ‘proficiency’ tersebut.

Program ini telah dijalankan dalam dua fasa iaitu fasa pertama ialah fasa bimbingan dan latihan kemahiran di dalam PPB yang berjalan selama enam bulan,manakala fasa kedua ialah penempatan kerja di syarikat-syarikat swasta yang berjalan selama tiga bulan.

Dalam program kali ke-8 ini, kesemua 19 peserta telah berjaya menamatkan program. Dari jumlah tersebut, setakat ini sebanyak 26 peratus telah mendapat tawaran bekerja dengan syarikat-syarikat swasta.

Keseluruhan program ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Majlis Ugama Islam melalui Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin yang meliputi kos kursus-kursus dan latihan kemahiran di PPB berserta elaun dan juga elaun-elaun semasa menjalani penempatan kerja.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta PROPAZ.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta PROPAZ.

Ia juga merupakan salah satu usaha berterusan di bawah naungan KHEU melalui jalan yang lebih inovatif dalam kaedah membanteras kemiskinan.

Objektif utama program ini adalah untuk mengubah minda peserta ke arah meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik dan cerah dengan berbekalkan kemahiran teknikal dan vokasional yang telah diperoleh dan membukakan ruang-ruang pekerjaan ataupun sebagai asas untuk melibatkan diri ke dalam bidang keusahawanan.

Peserta juga terdiri daripada penerima serta tanggungan-tanggungan mereka yang berdaftar sebagai penerima bantuan agihan wang zakat Asnaf Fakir Miskin di Jabatan Majlis Ugama Islam. Urusetia PROPAZ adalah sebagai penyelaras untuk membantu golongan Asnaf Zakat yang berminat dan berkesungguhan untuk mengubah kehidupan melalui program-program pengupayaan yang ditawarkan.

Malis penyampaian sijil berkenaan juga diselajurkan dengan penyampaian Anugerah Cemerlang Pencapaian Hidup PROPAZ 2007-2016 yang kali diperkenalkan dan diberikan kepada lepasan peserta program yang dinilai mempunyai pencapaian yang terbaik dan cemerlang dalam mengupayakan diri, gigih dengan semangat yang tidak kendur-kendur untuk berusaha sehingga akhirnya dapat mengubah kehidupannya ke tahap yang lebih baik dan cerah.

Anugerah berkenaan telah diterima oleh peserta Program PORPAZ ke-2 Sesi 2008-2009 iaitu Dayang Salmiah binti Haji Tarang.

Ketika ditemui Media Permata, Dayang Salmiah menjelaskan bahawa beliau telah mengikuti Program PROPAZ pada Julai 2008 dalam bidang Kursus Asas Kemahiran Masakan dan Katering & Kek dan Pastri di PPB selama tiga bulan dan seterusnya menjalani latihan penempatan kerja di Royal Brunei Catering Sdn Bhd selama enam bulan.

Beliau meluahkan perasaan syukur kerana telah ditawarkan untuk mengikuti program berkenaan. Menurutnya, PROPAZ merupakan ruang untuknya mengasah lagi bakat sedia ada dan memenuhi dirinya dengan ilmu kemahiran dan pembangunan diri. Kini beliau mempunyai syarikat beliau sendiri dalam bidang perniagaan katering, iaitu Syarikat Harum Kindana Katering.

ARTIKEL YANG SAMA