19 terima sijil kursus pemandu jentera berat

19 terima sijil kursus pemandu jentera berat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Kerjaya pemandu jentera berat, walaupun mencabar, merupakan satu kerjaya yang amat berbaloi jika seseorang itu tekun dan rajin berusaha.

Di samping itu, sokongan berterusan daripada ahli keluarga banyak memberikan semangat dan sebagai pendorong untuk menempuh pelbagai cabaran untuk meraih kejayaan yang diharapkan.

Nasihat dan kata-kata dorongan itu dinyatakan oleh penerima Anugerah Individu Berbakat Kursus Pemandu Jentera Berat ke-4, Awang Mohammad Shafiee bin Samsudin semasa Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pemandu Jentera Berat ke-4 dan Menandatangani Kontrak Pengambilan Bekerja di antara Para Peserta Kursus dengan Pengusaha-pengusaha Jentera Berat yang berlangsung di Dewan Binadiri, Pusat Pembangunan Belia (PPB), Jalan Utama Tanah Jambu, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil serta menyaksikan penandatanganan kontrak di majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, pegawai-pegawai kanan KKBS, pegawai dan kakitangan PPB, para jemputan khas serta peserta-peserta kursus yang diraikan dan ahli keluarga mereka.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyampaikan Anugerah Individu Berbakat Kursus Pemandu Jentera Berat ke-4 kepada Awang Mohammad Shafiee.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair menyampaikan Anugerah Individu Berbakat Kursus Pemandu Jentera Berat ke-4 kepada Awang Mohammad Shafiee.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair bergambar ramai dengan para pelatih yang menamatkan kursus pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair bergambar ramai dengan para pelatih yang menamatkan kursus pada majlis berkenaan.

Pemangku Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia, Awang Haswandi bin Haji Osman dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa seramai 19 orang pelatih yang mengikuti kursus itu berjaya menamatkan dan mendapatkan lesen memandu kelas 4, 5, 6, 2 dan 11.

Beliau berkata bahawa para pelatih telah memulakan latihan mereka dari Januari hingga Jun yang mana mereka mengikuti latihan teori dan praktikal di PPB selama dua bulan dengan latihan dikendalikan oleh tenaga pengajar profesional dari Megamas Training Company Sdn Bhd.

Manakala itu, bagi tempoh tiga bulan selepas itu, mereka mengikuti program penempatan kerja bersama syarikat-syarikat pengusaha jentera berat yang merupakan rakan strategik pusat berkenaan termasuk MOC Sdn Bhd, Brunei Transportation Company, Readymix Concrete (B) Sdn Bhd, Syarikat Yong Kiam Pin, Slingmax Sdn Bhd, PSK Logistics Sdn Bhd, PHLS Sdn Bhd, Syarikat Razali Amat dan Syarikat Pengangkutan Tiga Muara.

Beliau turut menyatakan bahawa, baru-baru ini, PPB telah menandatangani tiga lagi memorandum persefahaman baru dan kini jumlah rakan strategik pusat berkenaan iaitu syarikat pengusaha jentera berat telah bertambah kepada 16 buah syarikat di mana mereka telah memberikan dan mengambil bekerja para lepasan Kursus Pemandu Jentera Berat.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Am Megamas Training Company Sdn Bhd, Haji Mahmud bin Haji Idris dalam ucapannya berkata syarikatnya dan PPB telah bekerjasama dalam mencari tempat pekerjaan bagi lepasan-lepasan pelatih Kursus Pemandu Jentera Berat ke-4 di syarikat-syarikat pengusaha jentera berat yang beroperasi di Brunei.

“Tugas ini adalah sesuatu yang tidak mudah dilaksanakan dan sangat mencabar. Walau bagaimanapun, dengan adanya keperluan pekerjaan di dalam bidang ini dan kerjasama dari syarikat-syarikat pengusaha jentera berat menjadikan ia dapat dijalankan dengan lancar dan jayanya,” ujarnya.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil tamat kursus yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan diteruskan dengan penyampaian Anugerah Individu Berbakat Kursus Pemandu Jentera Berat ke-4 kepada Awang Mohammad Shafiee.

Seterusnya, majlis menyaksikan penandatangan kontrak pekerjaan di antara para lepasan kursus dengan beberapa pengusaha jentera berat di Brunei yang disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin.

Syarikat-syarikat yang menandatangani kontrak pekerjaan di majlis berkenaan adalah Readymix Sdn Bhd, Syarikat Razali Amat Sdn Bhd, MOC Sdn Bhd, BTC Sdn Bhd, PSK Logistik Sdn Bhd, PHLS Sdn Bhd, Pengangkutan Tiga Muara, Zainal Daud Sdn Bhd, Wee Siang (B) Sdn Bhd dan Teamone Environmental Technologies.

ARTIKEL YANG SAMA