19 terkorban dalam serangan berpisau

19 terkorban dalam serangan berpisau

SAGAMIHARA, Jepun, 26 Julai – Seorang bekas pekerja bersenjatakan pisau membunuh 19 orang dan mencedera 25 yang lain di sebuah pusat jagaan untuk orang tidak siuman di Jepun hari ini, dalam pembunuhan beramai-ramai paling teruk negara dalam beberapa dekad.

Lelaki berusia 26 tahun itu, yang dilaporkan mengugut akan membunuh beratus orang tidak siuman pada awal tahun ini, seterusnya menyerah diri di sebuah balai polis, mengaku kepada pegawai: “Saya melakukannya.” Dia dilaporkan juga berkata: “Orang kurang upaya semuanya harus lenyap.”

Pihak berkuasa mengenal pasti penyerang sebagai Satoshi Uematsu dan berkata dia telah bekerja di pusat itu di Sagamihara, sebuah bandar yang mempunyai lebih daripada 700,000 orang di barat Tokyo, sehingga Februari.

Penyiar NTV berkata lelaki itu memberitahu polis dia telah dipecat dan berdendam dengan pusat jagaan.

Serangan berlaku pada awal pagi apabila Uematsu didakwa memecah tingkap di tingkat pertama untuk memasuki bangunan. Penyiar awam NHK melaporkan dia mengikat seorang pekerja sebelum menikam penghuni di sana.

Kawasan jenayah ditutup bagi siasatan pihak polis. – AFP
Kawasan jenayah ditutup bagi siasatan pihak polis. – AFP

Seorang doktor di salah sebuah hospital di mana mangsa dibawa berkata adalah di antara mereka mempunyai luka “tikaman yang dalam” di leher.

“Pesakit amat terkejut dari segi mental, dan mereka tidak dapat bercakap sekarang,” beritahu doctor kepada NHK.

Beberapa buah ambulans,kereta polis dan trak bomba berkumpul di pusat Tsukui Yamayuri-en, kompleks yang terletak di bukit, yang dikepung dan ditutup dengan pita “Dilarang Masuk”.

Pembunuhan dipercayai merupakan kejadian paling teruk di Jepun sejak 1938, apabila seorang lelaki mengamuk dengan bersenjatakan sebilah kapak, pedang dan senapang, membunuh 30 orang.

Jurucakap jabatan bomba memberitahu AFP mangsa terbunuh termasuk sembilan lelaki dan 10 wanita berusia dari 18 hingga 70 tahun, dan 25 orang lagi mengalami kecederaan 20 di antara mereka dalam keadaan parah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA