191 pelajar SMALHB diraikan

191 pelajar SMALHB diraikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Seramai 191 pelajar Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah diraikan pada Majlis Penyampaian Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan BCGCE ‘A’ Level kali ke-22 sesi 2014/2015 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar ialah Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Beliau semasa berucap, menyatakan, pengetahuan ugama Islam dan Bahasa Arab yang dimiliki merupakan suatu bekalan yang amat berharga dalam menangkis aliran pemikiran yang berpotensi menggugat akidah dan keharmonian beragama di negara ini.

Lebih-lebih lagi, umat manusia ketika ini berada dalam satu kehidupan di tengah-tengah revolusi rangkaian dunia tanpa sempadan atau ‘kampung global’ yang menjadikan dunia sebagai satu pentas yang kecil dan mudah terjangkau dalam waktu yang singkat tetapi meninggalkan impak negatif terhadap perkembangan sosial-agama jika tidak mempunyai benteng agama dan nilai jati diri yang kukuh.

Tetamu kehormat majlis menyempurnakan penyampaian sijil.
Tetamu kehormat majlis menyempurnakan penyampaian sijil.
Antara ibu bapa dan penjaga yang hadir pada majlis tersebut.
Antara ibu bapa dan penjaga yang hadir pada majlis tersebut.

“Atas dasar inilah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah mengurniakan titah dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Penuntut dan Rakyat Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Ireland pada 2 Disember 2007 antara lain menasihatkan agar para pelajar harus memelihara sistem nilai yang baik di mana sahaja mereka berada.”

Beliau turut menyeru kepada semua pelajar agar merebut peluang yang ada dan mensyukuri nikmat yang dianugerahkan dengan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam usaha mempersiapkan diri sebagai seorang yang berilmu, beramal dan menyumbang kepada pembangunan agama dan negara. “Ini kerana modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dengan sekelip mata bahkan ia memerlukan usaha berterusan yang mesti dipupuk dan dibimbing sejak kecil lagi bak kata pepatah ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Manakala itu, Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Norjainah binti Haji Buntar yang juga selaku pengerusi majlis, mengatakan, antara pelajar yang menerima sijil itu terdiri daripada 161 penerima sijil STPUB, 12 menerima Sijil STPUB dan BCGCE ‘A’ level dan 18 lagi menerima sijil BCGCE A Level.

Katanya lagi, majlis itu diadakan adalah untuk menghargai kegigihan dan ketekunan serta usaha pelajar dan ibu bapa atas dorongan dan motivasi yang telah diberikan kepada anak-anak mereka manakala tenaga pelajar pula dapat menyukat keberkesanan pengajaran kepada anak didiknya.

ARTIKEL YANG SAMA