194 pelajar PTE Tutong ikuti program orientasi

194 pelajar PTE Tutong ikuti program orientasi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Feb – Seramai 194 pelajar baru Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong mengikuti program orientasi selama tiga hari, bermula hari ini, sebelum memulakan fasa baru dalam kehidupan mereka sebagai pelajar.

Pelajar-pelajar yang masuk ke PTE Tutong itu terdiri daripada mereka yang tinggal di kawasan persekitaran Daerah Tutong.

Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah semasa menyampaikan ucapannya mengalu-alukan para pelajar, menjelaskan bahawa pada tahun ini pelajar-pelajar lebih suka memilih pelajaran Sains dan diikuti dengan pelajaran Matematik, Fizik dan Kimia.

Beliau melahirkan harapan agar pelajar-pelajar baru PTE Tutong akan dapat menyesuaikan diri dan berusaha untuk mendapatkan yang lebih baik terutama dalam bidang akademik.

Majlis orientasi pertama dimulakan dengan membaca ikrar pelajar
Majlis orientasi pertama dimulakan dengan membaca ikrar pelajar

Dalam pada itu, beliau turut mengongsikan statistik keputusan peperiksaan Brunei-Cambridge GCE ‘A’ Level Oktober/November 2015, yang katanya, pelajar-pelajar PTE Tutong yang mendapat 2 ‘A’ Level dan ke atas telah meningkat daripada 79 peratus kepada 86.01 peratus, dan beliau berharap jumlah peratus tersebut akan lebih meningkat dari setahun ke setahun.

Pada hari pertama orientasi, yang berlangsung di Dewan Serba Guna PTE Tutong, pagi tadi, taklimat mengenai peranan pelajar telah disampaikan oleh Penolong Pengetua (Pentadbiran), Awang Almasri bin Haji Sulaiman.

Orientasi sehingga 1 Mac ini akan menyaksikan pelajar-pelajar menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan dan sukan serta berinteraksi di antara pelajar-pelajar baru.

PTE Tutong ditubuhkan pada tahun 2002 dan berpusat sepenuhnya sebagai PTE Tutong pada tahun 2012. PTE Tutong kini telah menawarkan 18 mata pelajaran bagi peperiksaan ‘A’ dan ‘AS’ Level.

ARTIKEL YANG SAMA