194 sekolah uzur di pedalaman Sarawak akan dinaik taraf

194 sekolah uzur di pedalaman Sarawak akan dinaik taraf

KUCHING, 21 Nov – Kira-kira 194 sekolah yang uzur di Sarawak akan dinaik taraf dan diselenggarakan oleh Kerajaan Persekutuan tahun hadapan.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem langkah ini akan memberi manfaat kepada 48,000 pelajar. Beliau berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM21 juta tahun hadapan untuk menaik taraf 72 lagi sekolah yang uzur.

Adenan berkata demikian semasa membentangkan Enakmen Perbekalan Negeri (2017), 2016 berjumlah RM8.134 bilion pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan menyegerakan kerja menaik taraf bangunan sekolah yang uzur di pedalaman menggunakan sistem binaan berindustri (IBS).

Mengenai perumahan, beliau berkata kerajaan negeri mengambil beberapa langkah untuk menyediakan perumahan untuk keperluan kumpulan berpendapatan rendah.

“Untuk Rancangan Malaysia ke-11, kerajaan dijangka membina 2,396 unit Rumah Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat dengan kos keseluruhan berjumlah RM232 juta.

Bagi melengkapi peruntukan yang disediakan Kerajaan Persekutuan dalam 2017, kerajaan negeri juga mencadangkan peruntukan berjumlah RM66 juta kepada tiga projek perumahan baharu di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata ini merangkumi pembinaan 1,040 unit Rumah Mampu Milik, 140 unit Rumah Mesra Rakyat dan pelaksanaan 17 Skim Lanjutan Kampung. – Bernama