1MDB bukan punca Ringgit jatuh

1MDB bukan punca Ringgit jatuh

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) – Kenyataan bahawa kejatuhan Ringgit disebabkan oleh isu hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semata-mata, adalah tidak benar, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda Kandasamy.

Beliau yang kesal kerana terdapat pelbagai pihak telah mengaitkan kemerosotan nilai Ringgit dengan 1MDB, berkata: “tidak ada hubung kait antara kedua-duanya.”

“Mengatakan kejatuhan ringgit kerana satu syarikat, saya fikir agak keterlaluan,” kata Arul Kanda ketika ditanya sama ada masalah kewangan 1MDB telah memberi tekanan tambahan pada mata wang tempatan.

“Jika anda melihat sebulan yang lalu dan menilai turun naik Ringgit, dan turun naik nilainya, dan melihat berita mengenai 1MDB, anda akan dapati tidak ada hubung kait,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, Ringgit banyak dipengaruhi oleh kejatuhan mendadak harga minyak dunia dan penurunan nilai Renminbi China yang telah memberi kesan buruk kepada mata wang tempatan.

Arul ketika ditemuramah selepas rakaman program Temubual Khas CEO 1MDB bersama Hello Malaysia terbitan BERNAMA TV di Wisma BERNAMA semalam. – Bernama
Arul ketika ditemuramah selepas rakaman program Temubual Khas CEO 1MDB bersama Hello Malaysia terbitan BERNAMA TV di Wisma BERNAMA semalam. – Bernama

Arul Kanda berkata kebimbangan terhadap pasaran baru muncul juga memberi kesan kepada mata wang pasaran baru muncul, susut nilai mata wang seperti mata wang Brazil, Norway dan New Zealand.

Gabungan kejatuhan harga minyak mentah, penurunan nilai mata wang China dan kenaikan dolar AS membawa kepada penurunan Ringgit sebanyak kira-kira 16 peratus berbanding dolar AS sejak Ogos tahun ini. Semalam Ringgit ditutup pada 4,2670.

Begitu juga, mata wang Brazil, Real, yang jatuh ke paras terendah pada September, mata wang Norway, Kroner juga menjunam ke paras paling rendah pada bulan lepas manakala dolar New Zealand turun dengan ketara selepas China menurunkan nilai mata wang mereka.

Semua mata wang ini, termasuk Ringgit, dikaitkan sama ada kebimbangan terhadap pasaran baru muncul, penurunan nilai mata wang China atau kejatuhan harga komoditi terutamanya minyak mentah, yang kini berlegar pada paras terendah AS$48 setong.