1MDB diberi tempoh bawa balik wang

1MDB diberi tempoh bawa balik wang

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diberi masa untuk membawa balik wang dilabur di luar negara yang difahamkan akan digunakan untuk menstrukturkan semula entiti itu.

Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim berkata dana pelaburan negara itu akan menggunakan wang berkenaan untuk menstruktur semula obligasi hutangnya.

“Penstrukturan semula akan mengambil masa,” katanya pada sidang media di sini hari ini selepas mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara bagi suku pertama tahun ini.

Terdahulu Bank Negara telah mengeluarkan surat kompaun pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Ini termasuk menghendaki 1MDB membawa balik wang yang dihantar ke luar negara berikutan pembatalan tiga kelulusan yang diberikan BNM kepada 1MDB masing-masing pada 2009, 2010 dan 2011.