1MDB mula mohon bangunkan Bandar Malaysia

1MDB mula mohon bangunkan Bandar Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) merancang memulakan proses Permohonan Cadangan untuk anak syarikatnya, Bandar Malaysia Sdn Bhd, memilih pelabur ekuiti yang berkelayakan sebagai rakan usaha sama dalam pembangunan keseluruhan Bandar Malaysia.

“Kami memohon pelabur ekuiti berkelayakan yang sesuai untuk menyatakan minat mereka dengan menandatangani perjanjian kerahsiaan bersama 1MDB bagi memudahkan perkongsian maklumat awal,” kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda dalam satu kenyataan hari ini.

Terletak di Sungei Besi, Bandar Malaysia seluas 200 hektar (495 ekar), dengan pembangunan bandar bercampur, dijangka menjadi pemangkin transformasi Greater Kuala Lumpur.

Pembangunan itu akan menjadi gerbang Kuala Lumpur untuk kereta api berkelajuan tinggi ke Singapura dan menjadi hab pengangkutan berpusat dalam bandar raya menerusi Jajaran

Mass Rapid Transit 2 dan 3, Komuter KTM, Express Rail Link, dan akses masa depan ke 12 lebuh raya utama.

Arul berkata bagi memindahkan kemudahan sedia ada di tapak berkenaan, 1MDB kini bertanggungjawab menyediakan lapan balai polis dan kem tentera baharu yang dibina di seluruh negara.

“1MDB menyumbang RM1.6 bilion untuk kos pemindahan daripada RM2.7 bilion kontrak pembinaan. Projek pembinaan kem-kem baharu ini berjalan lancar dan akan diserahkan pada 1 Jan, 2017, hasil kecekapan kontraktor kami, Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia, anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera,” katanya.

1MDB ialah syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan. Ia melaksanakan inisiatif dipacu pasaran bagi membantu mentransformasikan Malaysia sebagai ekonomi pesat berkembang, berdaya saing tinggi, terangkum dan mampan.