1MDB: Penerbit The Edge disoal siasat

1MDB: Penerbit The Edge disoal siasat

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Media Group, Ho Kay Tat, hari ini, dipanggil polis untuk disoal siasat berkaitan artikel mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiarkan The Edge Financial Daily.

Perkara itu disahkan Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datin Asmawati Ahmad.

“Dia dipanggil. Dia kena hadir,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Selasa lepas, The Edge menyerahkan dokumen, e-mel bercetak dan cakera keras yang dimilikinya mengenai 1MDB kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Sehari sebelum itu, The Edge Financial Daily menerbitkan artikel empat halaman yang memfokuskan kepada usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International.

1MDB dalam satu kenyataan pada Selasa menyelar akhbar itu dengan menyatakan bahawa dakwaan dalam laporan itu “sudah lapuk, tidak berasas dan dikitar semula.” Bernama