1MDB yakin kurangi hutang enam bulan

1MDB yakin kurangi hutang enam bulan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pelaksanaan pelan rasionalisasi bagi mengurangkan kadar hutang oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjalan lancar dan diyakini dapat mengurangkannya dalam masa empat hingga enam bulan.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda berkata usaha itu dapat dilaksanakan melalui penjualan beberapa aset dan ekuiti dalam Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia dan Edra Global Energy.

“Saya yakin tempoh masa itu bersesuaian dengan keadaan syarikat dan juga keadaan pasaran,” kata beliau dalam program Soal Jawab TV3 yang disiarkan malam ini.

Beliau berkata pelabur yakin terhadap aset 1MDB yang mempunyai asas kukuh termasuk Edra Energy yang menjana hasil kira-kira RM5 bilion setahun.

Selain itu, Arul Kanda berkata kira-kira 40 syarikat antarabangsa berminat menjadi rakan kongsi pembangunan Bandar Malaysia.

Logo 1MBD.
Logo 1MBD.

Menurutnya cabaran utama 1MDB pada masa ini ialah untuk menstabilkan situasi kewangan syarikat dengan menyelesaikan hutangnya.

Beliau yang kelihatan tenang semasa temu bual itu berharap syarikat dapat menjana pendapatan dan keuntungan pada masa akan datang.

“Kita berada di landasan untuk memenuhi objektif pembangunan strategiknya,” kata beliau.

Mengulas perkembangan lain, Arul Kanda berkata 1MDB sentiasa terbuka untuk siasatan dan mengakui ia menjadi syarikat paling banyak disiasat di negara ini oleh Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan siasatan-siasatan lain.

“Siasatan yang sedang dijalankan oleh pelbagai agensi akan mendedahkan tentang semua operasi kewangan 1MDB,” katanya.

Terdahulu, Arul Kanda yang pernah berkhidmat dalam sektor kewangan di Timur Tengah, berkata pelan rasionalisasi hutang firma pembangunan strategik itu memberi cabaran kepada beliau sebagai profesional perbankan.

Ditanya mengenai keperluan model perniagaan seperti 1MDB di Malaysia berikutan kewujudan Khazanah Nasional yang boleh menyebabkan pertindihan peranan, Arul Kanda berkata: “Pada asalnya Khazanah dan 1MDB adalah ‘complementary’ (pelengkap), maknanya menyokong satu sama lain.”

Namun kata beliau, 1MDB kini melaksanakan projek ‘greefields’ (baharu) seperti pembangunan tanah di TRX manakala Khazanah pula berjaya menguruskan aset kerajaan sedia ada seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Bhd dan sebagainya selain melaksanakan projek baharu seperti Iskandar Malaysia.

Khazanah adalah dana pelaburan strategik kerajaan manakala 1MDB pula syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan.

Ia melaksanakan inisiatif dipacu pasaran bagi membantu mentransformasikan Malaysia menjadi ekonomi pesat berkembang, berdaya saing tinggi, terangkum dan mampan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA