1st Five berentap Star Madang Ahad ini

1st Five berentap Star Madang Ahad ini

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – 1st Five FT akan menjadi lawan Star Madang pada perlawanan separuh akhir pertama yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam, Ahad, 20 September nanti.

1st Five mengesahkan kemaraannya ke peringkat separuh akhir Futsal Piala Perdana TelBru 2015 setelah mengetepikan cabaran lawan sekumpulannya dari pada Kumpulan A, BMB FT dengan menewaskannya 5-3. Ia menjadi dendam manis bagi juara Kumpulan A itu kerana ketika kedua-duanya bertemu dalam peringkat kumpulan, BMB berjaya mengatasi 1st Five dengan jaringan 7-5.

BMB dalam laluan tepat mengulangi kemenangannya ketika peringkat kumpulan tersebut apabila sudah mendahului 1-0 ketika perlawanan baru berlangsung seminit yang hadir menerusi sepakan penalti akibat kekasaran pemain 1st Five di dalam petak. Sepakan penalti itu disempurnakan oleh Mohd Arif.

Perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu terus berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan, namun permainan 1st Five yang agak fizikal mengundang padah apabila sudah melakukan enam kesalahan terkumpul ketika perlawanan baru berlangsung 10 minit.

Bagaimanapun menerusi hadiah sepakan penalti 10 meter akibat dari enam kesalahan terkumpul itu, pemain jersi 17 BMB mempersia-siakan peluang untuk menggandakan pendahuluan pasukannya apabila tendangan leretnya tersasar keluar dari tiang kanan gawang.

Mohd Azrin (jersi 6, hitam) menyaksikan bola sepakannya menuju masuk ke gawang BMB FT pada minit ke-12 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Mohd Azrin (jersi 6, hitam) menyaksikan bola sepakannya menuju masuk ke gawang BMB FT pada minit ke-12 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Sebaliknya, selang dua minit kemudian, 1st Five berjaya membolosi gawang BMB menerusi sepakan kaki kanan Mohd Azrin pada kedudukan lebih hampir dari titik tendangan penalti yang menuju ke sebelah kiri gawang lawan, melepasi kaki kiri dan tangan kiri penjaga gol BMB, untuk kedudukan berubah menjadi 1-1.

Beberapa saat kemudian, BMB terlepas bola yang dikawalnya dari sepak mula dan pemain pertahanan 1st Five tanpa lengah menghantar bola jauh ke dalam petak BMB yang disambut dengan tandukan oleh Mohd Khairol yang sedia menanti di dalam petak.

Kejayaan Mohd Khairol menanduk bola itu sebelum tangan penjaga gol BMB sampai kepada bola membolehkan bola itu ‘terbang’ menerjah gawang atas BMB untuk gol kedua 1st Five yang dicatat pada minit yang sama dengan gol pertamanya iaitu minit ke-12.

Empat minit kemudian BMB mendapat peluang keduanya dari sepakan penalti 10 meter, yang kali ini disempurnakan dengan baik sekali oleh Mohd Nazirol ke sudut bawah sebelah kanan gawang 1st Five, untuk BMB menyamakan kedudukan, 2-2.

Bersambung ke babak kedua, 1st Five bermula pantas dengan penghasilan gol ketiganya hanya dua minit selepas sepak mula yang disudahkan oleh Rambli, dan empat minit kemudian 1st Five bertambah selesa apabila Mohd Khairol meledakkan gol kedua peribadinya untuk membawa 1st Five mendahului 4-2.

BMB berjaya merapatkan jurang pada minit ke-34 menerusi jaringan kedua peribadi Mohd Arif untuk kedudukan 4-3, tetapi Mohd Amirul Hazmi menambah semula jurang itu dengan jaringannya pada minit ke-38. Kedudukan 5-3 itu kekal sehingga perlawanan selesai.

Kejayaan itu mendekatkan 1st Five selangkah lagi sampai ke final dan tiket bersaing dalam Liga Super Liga Futsal Brunei (BFL) 2016, manakala BMB kini sah menyertai Liga Perdana BFL musim depan, bersama MBS United SC yang tewas 2-4 kepada Star Madang dalam perlawanan suku akhir pertama.

ARTIKEL YANG SAMA