1st Five FT raih tempat ketiga

1st Five FT raih tempat ketiga

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – 1st Five FT memastikan pingat gangsa Futsal Piala Perdana TelBru 2015 menjadi miliknya apabila menang 3-2 dalam sepakan penalti penentuan ke atas Creativol sekali gus memastikan piala iringan tempat ketiga dan wang tunai $500 turut menjadi miliknya.

Kedua-dua pasukan bersaing sengit dalam perlawanan merebut tempat ketiga kejohanan berkenaan malam ini sehingga perlawanan masa sebenar berkesudahan 3-3 namun akhirnya memihak 1st Five FT dalam sepakan penalti penentuan.

1st Five FT memastikan ketiga-tiga tendangan penaltinya menggegar gawang Creativol tatkala penendang kedua Creativol menyaksikan tendangannya tersasar ke sebelah kanan tiang gol untuk menghadiahkan 1st Five FT kemenangan dengan jaringan 6-5 (campur 3-2 sepakan penalti penentuan).

Separuh masa pertama perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu diterajui 1st Five FT dengan jaringan 2-1 menerusi dua jaringan awal iaitu pada minit pertama oleh Mohd Khairul Effendy dan minit ke-7 oleh Mohd Amirul Hazmi, sementara jaringan Creativol dihasilkan oleh Mohd Naim pada minit ke-17.

1st Five FT memenangi tempat ketiga Futsal Piala Perdana TelBru 2015 selepas menewaskan Creativol dalam perlawanan penentuan tempat ketiga malam ini.
1st Five FT memenangi tempat ketiga Futsal Piala Perdana TelBru 2015 selepas menewaskan Creativol dalam perlawanan penentuan tempat ketiga malam ini.

Separuh masa kedua menyaksikan kebangkitan Creativol sehingga berjaya menjaringkan dua gol tambahan yang kedua-duanya dijaringkan oleh Amar Muaz iaitu pada minit ke-21 dan ke-32, sementara gol tunggal babak kedua 1st Five FT disumbangkan oleh Mohd Amirul Hazmi pada minit ke-21.

Creativol walaupun tewas, akan tetap menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak $300 sebagai hadiah saguhati yang telah disediakan oleh pihak penganjur, NFABD, untuk pasukan yang menduduki tempat keempat.

Kini tinggal satu perlawanan saja lagi yang akan menjadi penutup tirai kepada Futsal Piala Perdana TelBru 2015 iaitu perlawanan akhir di antara Star Madang dengan BIO FT yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 26 September, bermula pukul 8:15 malam di Dewan Serbaguna, KSNHB.