2 agensi erat kerjasama

2 agensi erat kerjasama

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Biro Kawalan Narkotik (BKN), hari ini, telah mengadakan Mesyuarat Kerjasama Dua Hala ke-8 dengan Biro Narkotik Pusat, Singapura yang berlangsung di Ibu Pejabat BKN, Jalan Tungku Gadong, di sini hari ini.

Menurut kenyataan BKN, mesyuarat ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua buah agensi dalam usaha-usaha bersama membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram di rantau ini.

Mesyuarat ini diadakan setiap tahun dan dihoskan secara selang seli di antara kedua-dua buah agensi, dan mesyuarat kali ke-8 ini telah dipengerusikan bersama oleh Pemangku Pengarah BKN, Haji Mohd Jaffari bin Haji Mahadi dan Pengarah Biro Narkotik Pusat, Singapura, Ng Ser Song.

Warga BKN dan Biro Narkotik Pusat, Singapura bergambar ramai setelah mengadakan Mesyuarat Kerjasama Dua Hala ke-8, kelmarin.
Warga BKN dan Biro Narkotik Pusat, Singapura bergambar ramai setelah mengadakan Mesyuarat Kerjasama Dua Hala ke-8, kelmarin.

Mesyuarat telah mengongsikan situasi dan trend dadah haram di kedua-dua buah negara, amalan-amalan terbaik, perkembangan dan pembaharuan ke atas prosedur dan perundangan yang berkaitan dengan pembanterasan penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram.

Di samping itu, kedua-dua belah pihak juga bertukar pandangan dan membincangkan mengenai amalan-amalan terbaik dan program-program dalam pendidikan pencegahan dadah dan rawatan serta pemulihan.

Dengan ini, kedua-dua buah agensi dapat mempelajari dan meningkatkan lagi keberkesanan program-program yang sedia ada.

ARTIKEL YANG SAMA