2 akaun dalam siasatan

2 akaun dalam siasatan

SINGAPURA, 22 Julai – Polis Singapura membekukan dua akaun bank sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan syarikat pembangunan strategik 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang kini turut disiasat pihak berkuasa Malaysia.

“Pada 15 Julai, kami mengeluarkan arahan di bawah Kanun Tatacara Jenayah untuk menghalang sebarang urusan berkaitan wang dalam dua akaun berkenaan yang kini dalam siasatan,” kata polis Singapura dalam satu kenyataan hari ini.

Polis bagaimanapun tidak menamakan bank atau akaun berkenaan kerana masih dalam siasatan.

Kelmarin, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) melaporkan sedang mengkaji sama ada bank terbabit mengikuti kaedah perbankan yang betul dalam mengenal pasti sumber dana dan laporan transaksi yang mencurigakan.

Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon, berkata jika terdapat mana-mana bank yang didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan, mereka tidak akan terlepas berhadapan tindakan.

Satu papan tanda 1MDB yang diletakkan di salah sebuah tempat di Malaysia. – Reuters
Satu papan tanda 1MDB yang diletakkan di salah sebuah tempat di Malaysia. – Reuters

“Semua bank memberi kerjasama kepada MAS. Kami sebenarnya sedang menyiasat untuk mengetahui adakah mereka telah melakukan semua ini.

“Tindakan akan diambil bergantung kepada tahap mana kesalahan yang dilakukan itu,” katanya.

The Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini melaporkan siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB menjejaki dana sebanyak AS$700 juta didepositkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan WSJ itu.

Najib sudah menafikan tuduhan itu dan menjelaskan dakwaan itu sebahagian kempen jahat untuk menjatuhkan Perdana Menteri. 1MDB juga nafi pindahkan dana kepada Najib. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA