2 beradik hadapi tuduhan bunuh

2 beradik hadapi tuduhan bunuh

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – “Kami mengaku membunuh mangsa, dan saya bersedia untuk bertanggungjawab atas kematiannya asalkan mahkamah tidak menjatuhkan hukuman kepada adik saya.”

Muhammad Hakimi Rizal bin Abdullah @Eyan Anak Beritin, 33, berkata demikian di kandang pesalah, Mahkamah Majistret, hari ini, bersama adiknya, Muhammad Zulkifli bin Abdul Jalil, 27.

Kedua-dua tertuduh yang dikawal ketat oleh dua anggota polis di kandang pesalah berdepan tuduhan membunuh Ispawi bin Idris berusia 43 tahun yang mayatnya dijumpai di dalam kereta pada 23 Mei di belakang bangunan komersil di Jalan Pandan 7.

Mereka yang juga adik-beradik angkat didakwa melakukan kesalahan itu di Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan 7, Kuala Belait antara jam 3 dan 3:30 pada 20 Mei 2015.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mendengar pengakuan Muhammad Hakimi Rizal itu berkata; “Saya tidak meminta pengakuan kamu buat masa ini, simpan pengakuan kamu untuk Mahkamah Tinggi nanti.”

Inilah kereta di mana mayat Ispawi dijumpai pada 23 Mei lalu.
Inilah kereta di mana mayat Ispawi dijumpai pada 23 Mei lalu.

Kedua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin yang mengendalikan kes itu memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan sebutan kerana kedua-dua tertuduh baru sahaja ditangkap dua hari lalu dan pihak polis memerlukan masa yang lama untuk menjalankan siasatan tambahan lagi polis masih menjalankan siasatan di tempat kejadian.

“Ramai saksi perlu disoal siasat dan bahan-bahan bukti perlu diproses,” kata Timbalan Pendakwa Raya yang meminta kes ditangguhkan dua minggu.

Pemangku Majistret Kanan memerintahkan Muhammad Hakimi Rizal ditahan reman di Balai Polis Pusat manakala Muhammad Zulkifli ditahan reman di Balai Polis Berakas sehingga sebutan semula kes pada 11 Jun.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya, telah memaklumkan mengenai penangkapan kedua-dua tertuduh.

Menurut kenyataan itu, Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah telah menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu sehingga tertangkapnya dua suspek di Kuala Belait, kelmarin, atas maklumat orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA