2 berlepas ke makmal orbit

2 berlepas ke makmal orbit

BEIJING, 17 Okt – China menghantar dua angkasawan ke angkasa hari ini, kata pegawai media, dalam misi ke makmal orbitnya ketika negara itu berusaha untuk membangunkan stesen angkasa sendiri.

Kapal angkasa Shenzou-11 berlepas awal pagi tadi dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di gurun Gobi, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Angkasawan Jing Haipeng dan Chen Dong akan mengambil masa selama dua hari untuk sampai ke makmal angkasa Tiangong-2, atau ‘Heavenly Palace-2’, yang dilancarkan pada September lalu.

Mereka akan berada di sana selama 30 hari – paling lama setakat ini oleh angkasawan China – untuk melakukan ujian ke atas teknologi yang berhubung kait dengan kapal angkasa dan ujian saintifik dan kejuruteraan, kata Xinhua.

Jing, ketua misi, dalam kunjungan ketiganya ke orbit dan akan meraikan ulang tahunnya yang ke-50 di angkasa.

Jing Haipeng (kiri) dan Chen Dong memberi tabik semasa acara perlepasan mereka bagi misi angkasa lepas Shenzhoy-11 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Jiuquan, Wilayah Gansu, China pada 17 Oktober. – AFP
Jing Haipeng (kiri) dan Chen Dong memberi tabik semasa acara perlepasan mereka bagi misi angkasa lepas Shenzhoy-11 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Jiuquan, Wilayah Gansu, China pada 17 Oktober. – AFP

“Walaupun tugasan itu mencabar, berisiko dan berbahaya, tidak ada yang lain dapat saya lakukan,” katanya, menurut China Daily.

China membelanjakan berbilion-bilion terhadap program angkasa yang dikendalikan tentera dan berusaha untuk mengejar AS dan Eropah, dengan harapan untuk memiliki kota kara berkru pada 2022.

Beijing melihat program itu sebagai simbolik terhadap perkembangan negara itu dan petanda terhadap peningkatan kedudukannya dalam global, tetapi setakat ini China secara meluasnya mereplikakan aktiviti-aktiviti yang dirintis oleh AS dan Kesatuan Soviet beberapa dekad lalu.

Presiden China Xi Jinping menghantar mesej ucapan tahniah kepada misi itu hari ini, yang menggesa mereka untuk menumpukan mengorak langkah besar bagi negara China, kata Xinhua.

Misi itu seharusnya berfungsi bagi memastikan ‘rakyat China akan mengorak langkah lebih besar dan berkembang lebih jauh’ dalam angkasa, dan menyumbang ‘kepada pembangunan China dalam tenaga angkasa’, Xinhua yang memetiknya sebagai berkata.

Makmal Tiangong-2 berada di orbit 393 kilometer (244 batu) dari Bumi memiliki dua kabin – dewan ujian yang kedap udara juga dijadikan sebagai kuarters tempat tinggal, dan stor sumber menyimpan bekalan seperti panel solar, enjin dan bateri.

Pakar pereka sistem kapal angkasa lepas Rusia, Aleksandr Zheleznyakov memberitahu Xinhua bahawa struktur makmal itu menunjukkan pelan rekaan China bagi stesen angkasa lepas masa hadapannya, yang dijangkanya akan memiliki kabin teras dengan pelbagai dok bagi modul berlainan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA