2 buah sekolah adakan majlis khatam Al-Quran

2 buah sekolah adakan majlis khatam Al-Quran

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Ogos – Majlis khatam Al-Quran bagi murid-murid Darjah 6 diteruskan lagi dengan gabungan dua buah sekolah di Daerah Tutong iaitu Sekolah Ugama Bakiau dan Sekolah Ugama Batang Mitus, yang diadakan di Dewan Serba Guna, Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Tutong, petang tadi.

Seramai sembilan orang murid Darjah 6 iaitu enam orang murid dari Sekolah Ugama Bakiau dan tiga orang murid dari Sekolah Ugama Batang Mitus telah diraikan dalam majlis Khatam Al-Quran tersebut.

Majlis tersebut merupakan satu penghargaan bagi murid-murid yang telah khatam 30 Juzuk Al-Quran dan diharap murid-murid berkenaan akan terus mendampingi Al-Quran serta mendalami lagi isi kandungan Al-Quran sebagai panduan, pegangan dan amalan hidup mereka.

Hadir selaku tetamu khas di majlis itu ialah Ketua Nazir Sekolah-sekolah Ugama Daerah Tutong, Hajah Sauaiah binti Haji Abdul Razak.

Murid-murid Darjah 6 daripada gabungan dua buah sekolah agama iaitu Sekolah Ugama Bakiau dan Sekolah Ugama Batang Mitus.
Murid-murid Darjah 6 daripada gabungan dua buah sekolah agama iaitu Sekolah Ugama Bakiau dan Sekolah Ugama Batang Mitus.

Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu khas majlis dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim oleh murid-murid yang diraikan.

Majlis diikuti dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah 2 hingga 5 gabungan Sekolah Ugama Bakiau dan Sekolah Ugama Batang Mitus.

Doa Khatam seterusnya dibacakan oleh murid Sekolah Ugama Batang Mitus, Awang Mohd Faizzaluddin bin Soliman/Sulaiman dan dimeriahkan lagi dengan laungan Dikir Marhaban oleh murid-murid lelaki gabungan dari kedua-dua sekolah agama berkenaan. Semasa bacaan Dikir Marhaban, tetamu khas berkesudian merenjis minyak wangi dan menyampaikan sijil kepada murid-murid yang diraikan.

ARTIKEL YANG SAMA