2 cedera letupan stesen kereta api di Bangkok

2 cedera letupan stesen kereta api di Bangkok

BANGKOK, 11 Mei (Bernama) – Satu letupan kecil yang berlaku di stesen kereta api Hualamphong yang sibuk di Bangkok tengah hari tadi menyebabkan dua lelaki cedera dan polis Thailand menolak ia berpunca daripada letupan bom.

Timbalan Ketua Polis Thailand Jen Pol Sriwara Rangsiphrammanakul berkata letupan itu berlaku pada kira-kira 11.56 pagi (waktu Thailand) dan berpunca daripada serbuk yang belum dikenal pasti yang diisi dalam sebiji botol kecil dan diletupkan menggunakan puntung rokok.

“Ia (letupan) bukan berpunca daripada ‘bom ping pong’,” katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan hari ini, dan pada masa sama menolak politik sebagai punca insiden itu. Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (NSC) yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-cha, di sini hari ini.

Media-media tempatan dalam laporan mereka mendakwa letupan itu berpunca daripada bahan letupan dikenali “Bom Ping Pong”, bola ping pong yang diisi dengan serbuk letupan.

Sementara itu, Setiausaha Agung NSC Jen Thawip Netniyom berkata pihak berkuasa akan menjalankan ujian forensik untuk mengenal pasti punca letupan itu walaupun kejadian letupan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Kami perlu mengumpulkan lebih banyak bukti untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku, walaupun letupan dirakam CCTV,” katanya kepada pemberita.

Dua mangsa yang cedera dalam letupan itu dikenal pasti sebagai Thanong Maisao, 25, dan Lamai Aungamsap, 30.

Mereka dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan.Rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua lelaki sedang merokok sebelum letupan itu berlaku.

Pegawai polis Thailand termasuk daripada unit Pemusnah Bahan Letupan (EOD) masih menjalankan pemeriksaan di kawasan letupan untuk mengumpul lebih banyak bukti bagi membantu siasatan mereka terhadap insiden itu.