2 dibicara kes bunuh polis Bali

2 dibicara kes bunuh polis Bali

DENPASAR, Indonesia, 9 Nov – Seorang wanita Australia dan teman lelakinya warga Britain telah menjalani perbicaraan hari ini atas tuduhan memukul seorang anggota polis hingga mati di sebuah pantai popular di pulau peranginan Bali, Indonesia.

David Taylor dan Sara Connor dibicarakan secara berasingan di mahkamah atas tuduhan membunuh polis Bali, Wayan Sudarsa, yang mayatnya ditemui di pantai Kuta pada Ogos. Mereka berdepan hukuman penjara 15 tahun jika didapati bersalah.

Taylor mengaku telah memukul pegawai itu semasa satu pertengkaran menggunakan objek termasuk botol bir yang pecah selepas menuduhnya mencuri beg tangan Connor namun menafikan telah membunuhnya dengan niat.

Connor telah mengekalkan ketidakbersalahannya, mengatakan bahawa dia hanya cuba untuk meleraikan Taylor dan Sudarsa ketika mereka berkelahi, dan menangis semasa menafikan turut membantu pembunuhan itu ketika perbicaraan dilangsungkan.

“Saya tidak bersalah, saya tidak bersalah,” tegasnya, dalam bilik mahkamah di bandar Denpasar, Bali yang dipenuhi dengan jurnalis tempatan dan luar negeri.

Sara Connor (kiri) menghadiri perbicaraannya di sebuah mahkamah di Denpasar, pulau Bali, Indonesia pada 9 November. – AFP
Sara Connor (kiri) menghadiri perbicaraannya di sebuah mahkamah di Denpasar, pulau Bali, Indonesia pada 9 November. – AFP

Peguam Connor, Erwin Siregar berkata yang dia merancang untuk memfailkan bantahan pada perbicaraan seterusnya berkaitan pertuduhan ke atasnya, mengatakan dia sebaliknya berdepan dakwaan kecil kerana memusnahkan bukti berkaitan dengan jenayah itu.

Dia pada awalnya mengaku membuang kad identiti Sudarsa selepas ia diambil dari mayatnya.

“Kami membantah indikmen itu kerana ia tidak tepat, tidak jelas, tidak lengkap,” kata Siregar.

Taylor muncul dalam mahkamah sama bagi perbicaraan berasingan sebelum Connor. Peguamnya berkata dia tidak akan memfailkan bantahan rasmi kepada dakwaan itu walaupun pasukan perundangannya boleh mencabar pertuduhan itu semasa perbicaraan.

Polis berkata dia naik berang dan memukul anggota polis itu berulang kali di kepalanya menggunakan botol bir, walaupun pasukan pertahanannya berkata dia dulu yang ditolak oleh pegawai tersebut.

Pasangan itu berdepan dakwaan membunuh, serangan dan seksa.

Selepas pembunuhan itu, pasangan itu meninggalkan pantai, namun dapat dijejaki semula oleh saksi yang melaporkan insiden itu kepada polis. – AFP