2 dilanjutkan ikat jamin, seorang lagi dibatalkan

2 dilanjutkan ikat jamin, seorang lagi dibatalkan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Mahkamah Majistret, hari ini, melanjutkan ikat jamin dua orang lelaki, masing-masing warga tempatan dan penduduk tetap dan membatalkan ikat jamin seorang lagi lelaki tempatan yang berdepan dakwaan mencuri.

Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman melanjutkan ikat jamin $3,000 atau seorang penjamin tempatan bagi Haji Mohammad Abdillah bin Haji Metali, 33, dan rakannya, Mohammad Isyatul Aqillah bin Abdullah, 28, yang berdepan dakwaan mencuri seutas rantai emas di sebuah syarikat pembinaan di Kampung Masin pada 11 November 2015 kira-kira jam 1 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria memberitahu mahkamah bahawa tertuduh Suhardi bin Saliman, 31, gagal menghadirkan diri ke mahkamah hari ini dengan penjaminnya ingin membuat permohonan untuk menarik diri daripada menjadi penjamin.

pg06_160107_mahkamah logoPenjamin kepada Suhardi memaklumkan mahkamah bahawa dia ingin menarik balik jaminannya atas sebab tertuduh gagal menghadirkan diri pada perbicaraan, gagal melaporkan diri ke balai polis seperti dalam syarat ikat jamin dan telah lama tidak pulang ke rumah.

Suhardi berdepan tuduhan mencuri sebuah kereta Toyota Corona di Kampung Kiulap pada November 2015.

Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Majistret Azrimah meluluskan permohonan penjamin dan akan mengeluarkan waran tangkap untuk tertuduh.

Majistret menetapkan 13 Januari untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA