2 diplomat China maut

2 diplomat China maut

MANILA, 21 Okt – Konsul besar China di bandar kedua terbesar Filipina, cedera dan dua kakitangannya terbunuh hari ini dalam serangan tembakan pada waktu makan tengah hari di sebuah restoran, menurut polis.

Dua warga China lain yang berada di sana, seorang pegawai konsul bersama suaminya, telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam penembakan itu, menurut jurucakap polis negara, Wilben Mayor kepada AFP.

Polis telah menemui pistol semi automatik .45 Colt dari tempat kejadian dan tiga kelongsong peluru, tambahnya.

Polis mengatakan serangan berlaku pada 1:30 petang (0530 GMT) di Lighthouse, sebuah restoran popular yang menghidangkan makanan Filipina di Cebu, bandar perdagangan tengah Filipina.

Kakitangan di restoran mewah itu memberitahu AFP, sekumpulan kira-kira sembilan orang berkumpul di sebuah bilik persendirian untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran konsul besar, Song Ronghua.

Seorang polis penyiasat memeriksa tempat jenayah konsul besar China ditembak selepas insiden penembakan berlaku di sebuah restoran di bandar Cebu. – AFP
Seorang polis penyiasat memeriksa tempat jenayah konsul besar China ditembak selepas insiden penembakan berlaku di sebuah restoran di bandar Cebu. – AFP

Juruwang restoran, Remedios Rivalde, 27, mengatakan dia bekerja di kaunter tunai di luar bilik majlis tempat dia mendengar tembakan senjata.

“Saya menyorok di bawah kaunter dan menutup telinga saya. Kemudian diikuti tembakan lain,” kata Rivalde menerusi telefon.

Menurutnya tempahan bilik telah dibuat sejurus sebelum jamuan tengah hari bagi menyambut hari kelahiran konsul besar, dan kumpulan itu mengarahkan bankuet termasuk hidangan tempatan yang popular seperti kepala tuna, udang dan sebagainya.

“Mereka memesan hidangan yang banyak, namun tidak memesan minuman keras,” katanya.

Song telah ditembak di leher, namun kecederaan dipercayai tidak mengancam nyawa dan dia dalam keadaan yang stabil, menurut ketua polis serantau, Tom Banas memberitahu AFP.

“Peluru itu hanya mencalarkan lehernya,” kata Banas.

Polis mengenal pasti anggota kakitangan sebagai Sun Shan, timbalan konsul besar, dan Hui Li, seorang pegawai kewangan.

Banas mengatakan pasangan suami isteri telah ditangkap tanpa sebarang tentangan.

Namun dia mengatakan mereka tidak bekerjasama dengan polis, dan butiran mengenai penembakan serta motifnya belum diketahui.

“Mereka mendakwa mereka tidak berbahasa Inggeris atau mungkin mereka tidak mahu memberi kenyataan,” katanya, menambah mereka mengupah peguam.

Pengurus Lighthouse, Stephen John Patero mengatakan kakitangannya tidak melihat penembakan itu kerana hanya tetamu sahaja berada di bilik persendirian pada waktu itu.

Namun katanya, pelayan yang menyediakan hidangan mereka sebelum itu telah mendengar para tetamu menjerit antara sesama sendiri. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA