2 diselamatkan selepas 48 jam terperangkap

2 diselamatkan selepas 48 jam terperangkap

TAINAN, 8 Feb – Seorang wanita dan lelaki berjaya dikeluarkan dalam keadaan masih bernyawa dari sisa runtuhan bangunan pangsapuri selepas terperangkap lebih 48 jam akibat gempa bumi yang melanda Taiwan, pagi Sabtu lalu.

Setakat ini, angka kematian akibat gempa itu meningkat kepada 35 orang dengan lebih 100 lagi masih hilang.

Gempa berlaku jam 4 pagi Sabtu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini dengan kebanyakan mangsa yang terkorban dari bangunan Wei-guan Golden Dragon yang runtuh.

Anggota penyelamat masih bertungkus-lumus menjalankan kerja mencari mangsa yang masih hidup di bangunan 17 tingkat berkenaan di mana 117 orang dilapor masih hilang.

Wakil Rakyat kawasan itu, Wang Ting-yu, memberitahu pemberita bahawa wanita berkenaan, Tsao Wei-ling, ditemui terbaring di bawah suaminya yang sudah meninggal dunia.

Seorang lelaki berusia 40 tahun, yang dikenali oleh media tempatan, Lee Tsung-tian, diangkat oleh kren, dikeluarkan dari runtuhan oleh pasukan penyelamat di Kompleks Wei-Kuan yang runtuh dalam gempa bumi 6.4 magnitud, di bandar selatan Taiwan, Tainan, pada 8 Februari 2016. – AFP
Seorang lelaki berusia 40 tahun, yang dikenali oleh media tempatan, Lee Tsung-tian, diangkat oleh kren, dikeluarkan dari runtuhan oleh pasukan penyelamat di Kompleks Wei-Kuan yang runtuh dalam gempa bumi 6.4 magnitud, di bandar selatan Taiwan, Tainan, pada 8 Februari 2016. – AFP

Anak lelaki mereka berusia dua tahun turut terbunuh dan ditemui terbaring berdekatan mereka. Seorang lagi mangsa terselamat dikenali sebagai Li Tsung-tian, demikian menurut Wang. Lelaki berkenaan dilaporkan masih sedarkan diri dan berbual dengan sempat anggota penyelamat.

Ketika anggota penyelamat meneruskan kerja mencari, anggota keluarga dan waris mangsa terus berada di lokasi kejadian bagi menunggu sekiranya mangsa dibawa keluar.

Lin Tong-meng berkata, dia menunggu di kawasan bagi memastikan anak dua saudaranya berusia 11 dan 12 tahun dapat dibawa keluar dengan selamat. “Saya datang dan kembali semula sejak semalam. Ayah dan emak kanak-kanak berkenaan diselamatkan sebaik gempa berlaku,” katanya. – AFP