2 ditahan bunuh anggota polis

2 ditahan bunuh anggota polis

DENPASAR, Indonesia, 19 Ogos – Polis Indonesia hari ini menahan seorang wanita Australia dan lelaki Britain berhubung pembunuhan kejam ke atas seorang anggota polis di pantai popular Bali.

Pegawai polis trafik, Wayan Sudarsa ditemui mati dalam berpakaian seragam pada pagi Rabu di pantai Kuta, di selatan pulau peranginan, dengan cedera di kepala dan lehernya.

“Botol bir pecah dan papan luncur yang patah telah ditemui berhampirannya, kami mensyaki ia digunakan dalam serangan itu,” kata ketua polis Bali, Sugeng Priyanto kepada AFP.

Pihak berkuasa melancarkan pemburuan ke atas wanita Australia, Sara Connor dan lelaki Britain, David Taylor berhubung pembunuhan itu, selepas kad ATM dan lesen memandu Connor ditemui di tempat kejadian.

Kedua-duanya, yang polis percayai merupakan pasangan, menuju ke konsulat Australia tempat mereka ditangkap pada petang hari ini dan kemudian dibawa ke balai polis di bandar Denpasar, Bali, kata Priyanto.

David Taylor warga Britain (tengah) diiringi oleh para pegawai polis Indonesia di sebuah balai polis di Denpasar di pulau peranginan Bali, Indonesia pada 19 Ogos. – AFP
David Taylor warga Britain (tengah) diiringi oleh para pegawai polis Indonesia di sebuah balai polis di Denpasar di pulau peranginan Bali, Indonesia pada 19 Ogos. – AFP

“Kami sedang menyiasat sama ada mereka adalah pelakunya atau bukan,” katanya.

Menurutnya, dia telah menyoal Connor sendiri dan dia telah mengatakan yang dia mabuk pada malam pembunuhan itu dan tidak ingat perkara sebenarnya yang terjadi, namun mengakui ada bertengkar dengan seorang anggota polis.

Taylor enggan untuk mengatakan apa-apa ketika dia sedang menunggu peguamnya, tambah ketua polis.

Para saksi berkata mereka menyaksikan seorang lelaki dengan rambut gimbal – seperti Taylor – bertengkar dengan seorang pegawai polis, menurut Priyanto.

Seorang lelaki dan wanita padan dengan gambaran mereka yang kemudian dikesan bertanya kepada teksi motosikal untuk menghantar mereka ke sebuah hotel namun pemandu itu enggan disebabkan lelaki itu berlumuran darah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA