2 ditangkap bunuh jurnalis India

2 ditangkap bunuh jurnalis India

NEW DELHI, 22 Jun – Polis di tengah India menangkap dua lelaki yang disyaki menculik seorang jurnalis dan membakarnya hingga mati, menurut polis hari ini.

Sandeep Kothari, 40, yang bekerja bagi akhbar berbahasa Hindi tempatan, hilang berdekatan kediamannya di negeri Madhya Pradesh pada Jumaat lalu.

Mayatnya yang rentung ditemui berhampiran trek landasan kereta api di negeri jiran Maharashtra pada keesokan harinya, kata ketua timbalan polis daerah Balaghat, Neeraj Soni.

Polis mengatakan suspek telah mengaku membunuh Kothari.

Media tempatan melaporkan bahawa Kothari mungkin telah disasarkan kerana menulis tentang perlombongan haram. Dia telah membawa beberapa pelombong ke mahkamah berhubung kesalahan mereka.

“Kelihatannya permusuhan peribadi antara tertuduh dan Kothari adalah berhubung beberapa perjanjian tanah. Tertuduh ketiga dikatakan masih lagi bebas,” Soni memberitahu dpa.

Kematian Kothari merupakan yang terbaru dalam siri serangan ke atas jurnalis India. Pada awal bulan lalu, seorang jurnalis bebas, Jagendra Singh dipercayai dibakar hingga mati oleh seorang anggota polis atas arahan menteri. Beberapa hari kemudian, seorang jurnalis TV di negeri yang sama telah dipukul dan diheret di belakang motosikal.

Jurnalis sering berdepan ugutan jenayah dan gangguan di tangan polis, birokrat dan ahli politik di India. India berada di tangga ke-136 daripada 180 buah negara menurut Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia 2015. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA